WASHINGTON - Kapal perang milik tentera Amerika Syarikat (AS) didakwa telah berlayar hampir dengan pulau yang menjadi tuntutan Beijing di Laut China Selatan.
Perkara itu dilihat bakal mencetuskan kemarahan China selepas perang perdagangan tercetus antara kedua-dua negara terbabit.
Jurucakap tentera AS, Komander Clay Doss mengesahkan kapal pemusnah, USS Preble berlayar berhampiran pulau buatan China hari ini di bawah operasi kedua yang dilancarkan sejak bulan lalu.
"Ia berada pada jarak 22 kilometer daripada Beting Scarborough untuk mencabar tuntutan berlebihan Beijing dan mengekalkan akses ke laluan yang dikawal undang-undang antarabangsa," katanya.
Laut yang kaya sumber itu telah menjadi punca konflik antara Beijing dan Washington yang turut melakukan tindakan provokasi dengan mengerahkan kapal perang dan pesawat ke kawasan perairan itu di bawah operasi rondaan 'kebebasan navigasi'.
Sebelum ini, China telah beberapa kali memberi amaran berhubung aktiviti ketenteraan AS di kawasan perairan itu yang dikhuatiri boleh mencetuskan kemalangan di laut atau udara.
Sejak beberapa tahun lalu, Beijing turut mencetuskan kemarahan negara antarabangsa selepas ia didakwa melakukan penambakan laut dan terus membina beberapa pulau buatan di kawasan yang menjadi pertikaian multilateral di Laut China Selatan. - Agensi