Eksport produk nanas negara meningkat

Iklan
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub melihat pembuatan tart nanas ketika mengadakan lawatan di sebuah premis usahawan tart nanas di Taman Bukit Indah di sini hari ini.

JOHOR BAHRU - Eksport produk nanas Malaysia mengalami peningkatan sebanyak 56 peratus pada tahun lalu berbanding 2017, susulan daripada peningkatan permintaan yang tinggi dari luar negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jumlah eksport produk nanas negara pada tahun lalu adalah sebanyak RM342 juta berbanding RM208 juta pada tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

"Eksport produk nanas merangkumi nanas segar, nanas kaleng, jus nanas, produk industri asas tani, benih dan nanas ornamental.

"Produk nanas Malaysia dieksport ke lebih 20 buah negara seperti Jepun, Korea, China, Hong Kong, Singapura, UAE, Arab Saudi, Iran, Mesir, Jerman dan Perancis," katanya ketika ditemui melawat premis usahawan tart nanas di Taman Bukit Indah di sini hari ini.

Iklan

Salahuddin berkata, nilai import produk nanas adalah RM159 juta menjadikan nilai imbangan dagangan produk nanas negara adalah positif iaitu sebanyak RM183 juta.

Katanya, peningkatan eksport produk nanas negara juga melibatkan peningkatan permintaan pasaran domestik Malaysia bagi nanas segar terutama MD2 yang dilihat terus bertambah disebabkan popularitinya.

Iklan

"Sektor tanaman nanas akan terus diperluaskan terutamanya bagi varieti premium MD2 serta lain-lain varieti bagi memenuhi pasaran eksport seperti N36 dan Josapine.

"Kerajaan telah mengkategorikan nanas sebagai sumber rezeki baru negara memandangkan potensinya yang dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada pekebun dan pengusaha terlibat," katanya.

Selain itu, katanya, Malaysia juga bersaing dengan beberapa negara pengeksport seperti Filipina dan Costa Rica, namun nanas negara ini mempunyai kelebihan dari segi kualiti buah yang dihasilkan.

"Ia merangkumi aspek ciri-ciri buah seperti kadar kemanisan, berat, rupa dan juga aspek keselamatan makanan serta Good Agricultural Practise (MyGAP)," katanya.