KUALA LUMPUR - Cadangan bagi warga asing untuk mendapat kelulusan daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) kondominium sebelum mereka boleh menyewa unit perlukan kajian lanjut, kata wakil persatuan penduduk.
Mereka mengalu-alukan idea itu tetapi berpendapat kajian lebih lanjut perlu dijalankan termasuk kesannya ke atas pasaran sewa dan senario hartanah yang tidak terjual sedia ada.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin semalam berkata kementeriannya merancang untuk memperkenalkan polisi yang menghendaki warga asing mendapat kelulusan daripada JMB atau MC sebelum mereka boleh menyewa rumah terutamanya melibatkan rumah kediaman berstrata, untuk mencegah jenayah melibatkan warga asing dan meningkatkan keselamatan.
Beliau berkata ini akan turut membantu JMB atau MC memantau kehadiran warga asing dan aktiviti mereka di tempat berkenaan.
Pengerusi JMB Residensi Infiniti 3, Amiruddin Sahudi berkata walaupun cadangan itu patut dipertimbangkan, tetapi ia juga penting untuk mendapat maklum balas rakyat, pemilik dan pemaju.
"Senario sekarang, bekalan rumah melebihi permintaan. Kondominium tumbuh bagai cendawan selepas hujan tetapi banyak unit yang masih belum terjual,” katanya dan menambah pelaksanaan cadangan itu mungkin akan memburukkan lagi keadaan pasaran hartanah.
Bekas Pengerusi MC Desa Putra Condo, Stephen Lim, mengalu-alukan cadangan itu tetapi turut berkongsi kerisauan Amiruddin.
Lim mencadangkan kementerian mempertimbangkan untuk mengeluarkan sijil berkelakuan baik kepada warga asing daripada pemilik rumah, selain JMC/MC, pemimpin agama, hakim dan hakim perdamaian.
"Sijil ini akan membolehkan warga asing mencari tempat untuk menyewa memandangkan pemilik atau JMC/MC tahu penyewa itu boleh dipercayai dan berkelakuan baik serta menjaga tingkah lakunya bagi memastikan status sijil mereka kekal untuk sewa seterusnya. Sijil ini tiada diskriminasi tetapi ia adalah berdasarkan rujukan,” katanya.
Pengerusi MC Villa Wangsamas Ashraf Azraie berkata cadangan kementerian itu adalah langkah yang baik untuk membantu menangani jenayah yang melibatkan warga asing di kediaman berstrata.
"Bagi saya, ia adalah cadangan yang baik bagi membolehkan kita menyemak status bakal penyewa kita yang berpotensi, sama ada mereka benar-benar mahu menyewa atau ada agenda lain,” katanya.
Bekas Setiausaha MC Vila Wangsamas Amirussyahri Ahmad juga berkongsi pendapat Ashraf, dengan mengatakan ia akan memberikan skop tambahan kepada fungsi MC untuk memastikan keharmonian penduduk kondominium. - Bernama