SEJARAH baharu tercatat apabila proses pembebasan akademik secara total mula direalisasikan oleh kerajaan yang baharu melalui Kementerian Pendidikan Malaysia susulan pindaan terhadap tiga akta berkaitan, termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Rang undang-undang dimaksudkan diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini.
Pindaan yang melibatkan Seksyen 10(2)(c), Seksyen 15(2)(c) dan Seksyen 47(2) adalah berkenaan penglibatan pelajar dalam aktiviti politik di dalam mahupun di luar kampus.
Mahasiswa mengambil ini sebagai satu langkah permulaan yang baik dalam mereformasikan institusi pendidikan di Malaysia walaupun terdapat beberapa lagi kekurangan dan masih lagi wujud akta-akta yang menyekat dan membelenggu mahasiswa.
Namun usaha murni yang dilakukan menteri wajar diberikan pujian dan kita percaya ini hanyalah permulaan ataupun sebahagian kecil daripada reformasi pendidikan yang melibatkan pelbagai aspek.
Langkah kanan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan hari ini walaupun baru memerintah selama enam bulan diharapkan konsisten dan tidak hanya untuk meraih sokongan mahasiswa semata-mata dan untuk kepentingan atau ‘survival politics’ sahaja.
Rata-rata mahasiswa mengharapkan kerajaan menjaga dan menjamin hak mahasiswa dan warga pendidik selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Pindaan ini sangatlah memberi impak yang besar kepada landskap sosial dan politik negara, terutamanya dalam kalangan mahasiswa sendiri.
Kesediaan mahasiswa dalam menghadapi pindaan ini sepatutnya tidak dipersoalkan dan diragukan lagi kerana sudah 47 tahun lamanya mahasiswa berjuang untuk pembebasan akademik dan autonomi mahasiswa.
Saya yakin mahasiswa hari ini cukup cekap dan matang berhubung soal hak dan kepentingan mereka dalam negara ini.
Persoalannya adakah dengan pindaan ini mahasiswa akan mengabaikan akedemik?
Ini adalah antara contoh persepsi atau stigma yang ditanam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ke dalam masyarakat awam atau masyarakat luar terhadap penuntut universiti seolah-olah pelajar terlalu sibuk untuk berpolitik sehingga lupakan pelajaran.
Dalam isu ini, mahasiswa perlu bersama dan bersatu dalam menangkis hujah yang tidak logik dan tidak berasas ini.
Kita ambil contoh negara-negara Eropah yang mempraktikkan amalan politik dalam dan luar kampus dan lihat pula impaknya yang positif kepada pembangunan nilai masyarakat dan negara mereka.
Ini akan mewujudkan masyarakat yang cakna dan peka terhadap pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara.
Pindaan yang dilakukan ini juga akan membentuk satu medan intelektual yang bakal dirasai oleh mahasiswa secara langsung dan dengan itu mahasiswa dapat menilai dan mengkaji sendiri tentang apa yang benar dan apa yang salah tanpa ada halangan dan diskriminasi dari pihak-pihak tertentu.
Bagaimanapun, kebebasan yang diberikan perlu digunakan sebaiknya dengan penuh tanggungjawab dan amanah supaya ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
Mahasiswa juga masih lagi terikat dengan undang-undang negara dan tidak boleh sewenang-wenangnya menjadikan pindaan akta ini sebagai senjata untuk melakukan sesuatu yang radikal yang boleh mendatangkan perkara negatif kepada negara terutamanya.
Besar harapan saya untuk melihat mahasiswa kembali bersatu hati dalam menuntut dan menjaga hak-hak kita sebagai seorang mahasiswa dan saya yakin dan percaya mahasiswa hari ini sangat rasional dan progresif dalam mendepani isu-isu semasa.
Usaha yang dilakukan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berhubung soal pembebasan akademik walaupun masih lagi tidak menyeluruh namun, ia wajar disokong oleh semua mahasiswa.
Saya yakin dan percaya pembebasan akademik secara total akan dilakukan dalam masa terdekat dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kerajaan terutamanya dalam sektor pendidikan.