MINGGU lalu pada tanggal 14 Mei, kita dikejutkan dengan berita seorang remaja perempuan berusia 16 tahun membunuh diri dengan terjun dari bangunan tiga tingkat di Kuching, Sarawak.
Remaja malang itu bertindak sedemikian selepas membuat undian secara langsung di laman Instagramnya dengan menulis Really Important, Help Me Choose D/L (mati atau hidup). Undian itu memperoleh keputusan 69 peratus menyokongnya supaya membunuh diri!
Mengapa dia memutuskan untuk mengakhiri riwayatnya? Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan menjelaskan remaja itu tertekan selepas bapa tirinya berkahwin dengan wanita Vietnam di Singapura dan jarang pulang ke rumah.
Kata kunci terhadap tindakan tersebut ialah dia tertekan dan ini adalah sebahagian daripada gejala depresi!
Kejadian yang berlaku itu mendapat perhatian serius Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengakui beliau sebelum ini pernah mengalami tekanan dan kemurungan tetapi bernasib baik kerana mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan rapat.
Bukan semua isu mental sama dengan istilah gila. Masyarakat perlu faham asas gejala mental. Masalah kebimbangan melampau (anxiety), kemurungan (depression) dan ketegangan jiwa (stress) bukan istilah gila.Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 sebelum ini membuktikan sekurang-kurangnya satu daripada 10 anak muda atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri.
Kajian sama turut menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalami kemurungan, manakala satu daripada 10 remaja berhadapan masalah tekanan perasaan.
Statistik berkenaan membuktikan isu kesihatan mental di Malaysia, khususnya dalam kalangan anak muda amat serius dan perlu ditangani secara berkesan oleh semua pihak.
Namun, isu kesihatan mental kurang mendapat perhatian di negara ini kerana ia menjadi taboo dalam kalangan masyarakat menyebabkan mereka yang berhadapan masalah mental tidak mendapat rawatan.
Begitu juga dengan rakyat Malaysia yang sihat. Kurangnya pendedahan tentang depresi itu menjadi punca rakan remaja perempuan tersebut menyokongnya membunuh diri.
Isu depresi ini bukanlah isu yang berlegar di Malaysia sahaja. Di peringkat global, kesannya lebih parah. Di India pada April lalu, sekurang-kurangnya 20 remaja membunuh diri hanya disebabkan mereka gagal dalam peperiksaan zoologi.
Khaleej Times melaporkan, episod bunuh diri itu berlaku selepas lembaga peperiksaan mengumumkan keputusan ujian yang memperlihatkan hampir satu juta pelajar gagal.
Bagi mengelakkan pertambahan jumlah bunuh diri dalam kalangan pelajar, pihak berwajib India mengumumkan keputusan peperiksaan itu berlaku kesilapan! Jelas kenyataan pihak berkuasa India membuktikan depresi golongan remaja tidak boleh dipandang enteng.
Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye tahun lalu menegaskan, depresi atau kemurungan bakal menjadi penyakit kesihatan mental utama dialami rakyat Malaysia menjelang 2020 susulan semakin ramai orang dijangka mengalami peningkatan stres akibat tekanan kerja dan keluarga.
Jelasnya, beberapa langkah yang boleh dipraktiskan untuk mencegah depresi dan kecelaruan adalah dengan bersenam secara konsisten, tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari dan elakkan platform media sosial seperti WhatsApp sekurang-kurangnya 45 minit sebelum masuk tidur.
Bagi Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya pula, depresi dan kecelaruan boleh dirawat jika dikesan awal. Begitu dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di mana beliau mengingatkan bahawa jangan memandang serong terhadap isu kesihatan mental.
Natijahnya, semua pihak perlu menyedari depresi boleh diubati lebih awal jika kita tahu gejalanya.
Syed Saddiq ketika berucap pada Youth Mental Health Dialogue: Are You Okay di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia baru-baru ini berkata, adalah penting untuk mengesan tanda kemurungan lebih awal.
Selaku rakyat Malaysia yang bertanggungjawab marilah kita menjadi seorang pendengar dan jangan sesekali mengetepikan mereka.