KUALA LUMPUR - Lebih 30 gerai di hadapan kompleks Wisma Yakin di Jalan Masjid India di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Penguasa Bomba L Logeswaran berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 1.35 pagi tadi.
Menurutnya, seramai 48 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Sentul dan BBP Pudu bersama empat jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah ‘water tanker’ bergegas ke lokasi untuk memadam kebakaran.
"Sebaik kita tiba di lokasi pada jam 1.44 pagi, didapati kira-kira 30 gerai yang ada di situ sedang terbakar.
"Kebakaran dapat dikawal kira-kira 20 minit kemudian dan api dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.04 pagi.
"Bagaimanapun, semua gerai di situ musnah 100 peratus. Anggota kita kemudian meneruskan kerja-kerja pemadaman ‘overhaul’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, kebakaran membabitkan kawasan perniagaan berkeluasan kira-kira 2,000 kaki persegi (185.5 meter persegi).
Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.