Bakal pengantin cari bapa saudara sebagai wali

Iklan
Sharifah Nurshafiqah menunjukkan gambar arwah bapanya.

KLUANG - Seorang bakal pengantin di Felda Pemanis 2, Segamat, mencari bapa saudara sebelah bapanya untuk menjadi wali pernikahannya yang dijadualkan akan berlangsung pada 9 Jun ini.

Sharifah Nurshafiqah Syed Daud, 24, berkata, dia amat memerlukan bapa saudaranya untuk menjadi wali kedua memandangkan bapanya, Syed Daud Syed Jaafar meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 22 April 1996.

Iklan
Iklan

"Sewaktu arwah ayah saya meninggal dunia, saya baharu berumur enam bulan ketika itu sebelum ibu saya, Rosidah Md Seyhad membuat keputusan untuk meminta datuk dan nenek saya menjaga saya sehingga sekarang.

"Saya memang tidak kenal adik-beradik arwah ayah saya dan ibu saya juga sama kerana sewaktu arwah berkahwin dengan ibu saya, dia hanya datang seorang diri tanpa ditemani ahli keluarga yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, dia hanya mengetahui arwah ayahnya berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan selain sebelum ini arwah ayahnya tidak pernah membawa keluarganya berjumpa dengan ibu serta datuk dan neneknya.

Katanya, keadaan tersebut sekali gus menyukarkan usahanya mengesan ahli keluarga sebelah bapanya untuk menjadi wali pernikahannya dengan Norkhusaini Nor, 24, yang berasal dari Kampung Contoh, Kahang.

Iklan

"Kami juga sudah lama terputus hubungan dengan ibu dan kali terakhir saya berjumpa dengannya sewaktu umur saya lapan tahun dan dua tahun lalu saya dapat berita bahawa ibu sekarang tinggal di Sabah.

"Sebelum ini saya pernah berusaha mencari adik beradik arwah ayah namun tidak berjaya kerana tiada maklumat yang tepat dan saya hanya ada gambar arwah ayah sahaja,” katanya.

Individu atau sesiapa sahaja yang mengetahui atau mengenali bapa saudara atau ahli keluarga arwah bapa Sharifah Nurshafiqah, boleh menghubunginya di talian 0177884230.