KUALA LUMPUR - Tugas Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Abibullah Samsudin digantung sementara berkuat kuasa hari ini.
Menurut Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, tindakan itu bagi membolehkan siasatan menyeluruh berkenaan dakwaan salahlaku dapat dijalankan.
"Sepanjang penggantungan ini, jawatankuasa siasatan akan meminta beliau untuk hadir bagi memberikan keterangan dan membantu siasatan berkenaan dakwaan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Sepanjang pengantungan itu, Pengarah Kanan YaPEIM, Parihan Hasan akan memangku tugas-tugas sebagai ketua pengarah.
"Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan merupakan Pengarah Kanan Bahagian pengurusan Strategik YaPEIM," jelasnya.
Pada 18 Mei lalu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki didakwa kononnya Abibullah mempengaruhi kakitangan YaPEIM pada pilihan raya umum lalu.
Dalam video yang tular itu memaparkan ucapan seorang lelaki dipercayai pegawai kanan Yapeim ‘mengugut’ kakitangannya supaya ‘jangan undi Pakatan Harapan (PH).
Pegawai kanan itu juga mengugut akan memeriksa satu persatu undi kakitangannya dan berkata"kalau anda mengundi PH, anda tak layak duduk di YaPEIM. Pergilah cari kerja dengan DAP”.
Video berdurasi hampir dua minit itu dipercayai dirakam sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.