TANAH MERAH- Taktik menyembunyikan syabu dalam paket bungkusan teh Cina semakin popular digunakan pengedar dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Namun tindakan seorang lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai mengedar dadah jenis syabu di daerah ini, berjaya dikesan apabila dia ditahan dalam satu serbuan sepasukan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Tanah Merah di Kampung Padang Kelewek di sini petang Ahad lalu.
Turut dirampas dua bungkusan teh Cina yang mengandungi paket lut sinar dengan ketulan mampat kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 2 kilogram yang bernilai RM100,000.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, dalam serbuan jam 5 petang itu, suspek yang berada di sebuah rumah di kawasan Kelewek, sedang memegang satu plastik putih di tangannya.
"Apabila salah seorang anggota polis memperkenalkan diri, suspek cuba lari dan membuang plastik putih itu ke tanah.
"Walaupun ada berlaku pergelutan antara anggota dan suspek, namun dia akhirnya berjaya ditahan bersama bungkusan syabu itu," katanya.
Suzaimi berkata, hasil dari tangkapan itu juga, pihaknya turut menahan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan wang tunai berjumlah RM800.
"Setakat tahun ini, rampasan syabu berkenaan merupakan kejayaan terbesar pihak kami.
"Suspek kini direman bermula Ahad lalu sehingga 26 Mei ini di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, untuk tindakan lanjut," katanya.