AMK Terengganu selar kenyataan Hadi terhadap Anwar

Iklan
Mohd Huzaifah

KEMAMAN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu menyelar kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pelakon susulan hasrat Presiden PKR itu yang mahu menjadi pemimpin berpegang teguh kepada Islam apabila menjadi Perdana Menteri kelapan kelak.

Ketua AMK Terengganu, Mohd Huzaifah Md Suhaimi berkata, kenyataan Ahli Parlimen Marang itu dilihat agak keterlaluan dan berniat jahat.

Iklan
Iklan

Justeru, menurutnya, AMK Terengganu berharap agar Hadi boleh bersangka baik atau husnuzon terhadap Anwar sepertimana beliau husnuzon kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, sebelum ini Hadi bersangka baik bahawa bekas Perdana Menteri keenam itu tidak bersalah dalam penyelewengan dan rompakan wang rakyat secara besar- besaran oleh UMNO dan Najib di era pemerintahan pemimpin itu.

Iklan

"Husnuzon terhadap kepimpinan Anwar jelas mempunyai asas kuat dan kukuh sepertimana semua telah maklum akan sumbangan besar beliau dalam Angkatan Belia Islam Malaysia suatu masa dahulu.

"Alhamdulillah gerakan islah itu berterusan sehingga hari ini di mana kita sendiri dapat menyaksikan umat Islam di Malaysia pada hari ini telah berada di suatu tahap yang lebih baik dan terpuji," katanya.

Iklan

Huzaifah berkata, Anwar juga mempunyai hubungan baik dengan ulama muktabar sedunia seperti Sheikh Yusof Al-Qardhawi, Dr Wahbah Az-Zuhaili dan beberapa ulama terkenal dunia yang lain.

Tambahnya, perkara itu jelas menunjukkan pengiktirafan dunia Islam dan pimpinan Islam lain kepada Anwar.

"Maka ingin kami sarankan kepada Presiden Pas yang juga mantan Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia untuk sentiasa berlaku adil dalam menyerang seseorang.

"Jangan kerana terpengaruh dengan 'kartel dedak', pendirian beliau berubah-ubah mengikut kesesusaian dan kepentingan diri dan parti sendiri semata-mata," katanya.

Hadi pada Jumaat lalu dilaporkan mengeluarkan kenyataan menyifatkan Anwar sebagai seorang pelakon berhubung hasratnya untuk dikenali sebagai pemimpin negara yang memiliki keyakinan teguh terhadap Islam apabila memegang jawatan sebagai Perdana Menteri nanti.

Anwar sebelum itu dilaporkan berjanji akan menjadi Perdana Menteri yang jelas pendirian dan keyakinan terhadap Islam, sekiranya diberikan ruang dan peluang menjawat jawatan tersebut.

Kata Anwar, beliau bercita-cita untuk tampil sebagai tokoh yang mengutamakan Islam dan pada masa yang sama mengasihani penganut agama lain.