Angkara mercun: Ibu terkejut pergelangan tangan anak putus

Iklan
Syafiq Haiqal, 13, menerima rawatan di HSNZ, di sini selepas parah di bahagian pergelangan tangan. Gambar kecil: Zainab

KUALA TERENGGANU-"Kalau ikutkan cerita, Syafiq dah bakar sumbu tetapi tidak menyala sebelum dia bakar sekali lagi dan meletup," demikian cerita Zainab Mohd, 40, ibu kepada Syafiq Haiqal Saharuddin,13, yang hancur pergelangan tangan kanan serta lima jarinya akibat bermain mercun, dalam kejadian di Kampung Raja, Besut petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, selain Syafiq Haiqal, adik lelakinya, Shahrul, 10, turut mengalami kecederaan ringan di belakang badan akibat terkena percikan daripada mercun berkenaan manakala lima lagi sepupunya yang turut sama bermain mercun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan
Iklan

Menurut ibu tunggal kepada empat anak itu, dia hanya mengetahui kejadian menimpa anak keduanya selepas dipanggil sepupunya memaklumkan Syafiq Haiqal terkena mercun.

"Semasa itu saya sedang memasak di rumah dan bergegas ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan.

Iklan

"Setibanya di sana, saya terkejut selepas mendapati pergelangan tangannya dipenuhi darah dan ketika itu Syafiq Haiqal sedang menangis kerana kesakitan.

"Saya segera mendapatkan dia sebelum membalut tangannya dengan kain. Ketika itu, Syafiq Haiqal hanya minta air sebelum kami membawanya ke Hospital Besut dan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di HSNZ di sini.

Iklan

Kata Zainab lagi, dia ada menegur anak kedua daripada empat beradik itu kelmarin supaya tidak bermain mercun.

"Kelmarin dia ada main dan saya sudah tegur tetapi tidak sangka semalam dia main lagi.

"Memang terkejut sebab kejadian ini berlaku pada anak sendiri namun segalanya sudah ketentuan Ilahi.

"Sebelum ini, saya terdengar kejadian seperti ini menimpa orang lain tetapi kali ini, ia berlaku terhadap anak saya,” katanya.

Malam tadi, Sinar Harian ada melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Alor Lintang parah di bahagian pergelangan tangan dengan semua jari dan telapak tangan hancur akibat bermain mercun di Kampung Kubang Ikan di Kampung Raja di sini, petang semalam.

ARTIKEL BERKAITAN Tapak tangan, lima jari hancur angkara mercun