SHAH ALAM - Sikap pekerja Malaysia yang bermasalah terutama golongan belia membimbangkan kerana sembilan daripada 10 majikan berdepan dengan perkara tersebut.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohammad Rizan Hassan berkata, lima sikap popular pekerja tempatan yang dikenalpasti iaitu prestasi kerja teruk, tidak mampu bekerja dengan baik dalam kumpulan atau orang lain, tidak responsif terhadap tunjuk ajar, sukar melakukan perubahan dan tidak mempunyai rasa tanggungjawab.
"Memang diakui isu soal gaji minima atau gaji bermaruah masih terus diperjuangkan dan diperdebatkan, namun kita tidak menolak kalaulah pekerja tempatan mempunyai pakej kompeten lengkap dari segi kemahiran, pengetahuan serta sikap pastinya mereka relevan dengan pekerjaan yang ada.
"Sikap negatif pekerja tempatan telah mengakibatkan negara dibanjiri dengan pekerja asing dan akhirnya merugikan rakyat negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kesediaan Malaysia menghantar pekerja separa mahir ke Jepun.
Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun memorandum kerjasama (MoC) bagi Malaysia menghantar pekerja separa mahir ke Jepun belum dimuktamadkan, usaha tersebut perlu direalisasikan dan disambut baik semua pihak terutama institut latihan kemahiran awam dan swasta (ILK).
"Ia bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten dari segi kemahiran, pengetahuan dan sikap.
"Kesediaan Jepun membuka ruang dan peluang ini tidak seharusnya menjadikan kita berpuas hati dengan sistem pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), sebaliknya ILK perlu sentiasa mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam latihan bagi membantu bakal pekerja meningkatkan prestasi dalam industri," katanya.
Justeru, beliau menggalakkan ILK mempersiapkan bakal pekerja berkemahiran dengan pemantapan insaniah yang tinggi bagi menangani sikap negatif pekerja tempatan.
"Penekanan kepada soal komunikasi secara berkesan dan beberapa kemahiran lain seperti kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, kesukarelawan dan kemanusiaan, pemikiran kritis dan moral profesional amat diperlukan dalam alam pekerjaan bukan sahaja di Malaysia bahkan seluruh dunia," katanya.