Sorok dadah dalam bekas gula-gula

Iklan
Dadah syabu yang disorokkan dalam bekas gula-gula yang dirampas dari suspek.

KEPALA BATAS - Helah seorang remaja menyembunyikan dadah dalam bekas gula-gula tidak menjadi apabila dia ditahan polis pada jam 3 pagi, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki itu ditahan dalam Ops Tapis di hadapan Blok D Taman Bagan Lalang, Butterworth.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan fizikal ke atas suspek berusia 19 tahun itu menjumpai dadah jenis syabu yang disimpan dalam bekas gula-gula.

"Ketika pemeriksaan pada beg silang suspek, kita menemui bekas gula-gula. Di dalam bekas tersebut, didapati suspek menyimpan syabu seberat 70g.

Iklan

"Hasil siasatan mendapati, dadah yang dirampas adalah untuk pasaran di Butterwoth dan kegunaan sendiri. Nilai keseluruhan dadah dianggarkan bernilai RM 10,500," katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Axia dan wang tunai.

Iklan

"Selain kereta, wang tunai bernilai RM1,000 dipercayai hasil aktiviti dadah juga disita.

"Nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM26,000. Ujian saringan air kencing suspek yang tidak bekerja itu juga positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek direman tujuh hari bermula Ahad lalu sehingga 25 Mei ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama," katanya.