Nabila Huda jadikan anak sebagai teman karib

Iklan
Pelakon, Nabila Huda,
PENGALAMAN bergelar anak tunggal dan berhadapan dengan perceraian ibu bapa telah banyak mematangkan aktres, Nabila Huda.

Justeru, apabila selebriti 35 tahun ini melalui pengalaman sama apabila perkahwinan bersama Zaidi Zailani tidak kekal, dia memilih untuk bersikap terbuka dengan puteri tunggalnya, Keisha Laila, 10 tahun.

Jelas Nabila atau mesra dipanggil Abil, dia sebolehnya tidak mahu Keisha merasa kekurangan kerana terpaksa berhadapan dengan ibu bapa yang tidak lagi bersama.

"Saya sering berbual dengan Keisha, nasihatkan dia dan paling penting berterus-terang. Tiada rahsia antara kami.

"Malah saya juga ada jelaskan kepadanya kenapa saya dan daddy dia berpisah. Saya juga beri kata-kata positif bahawa dia sebenarnya beruntung kerana ada keluarga yang besar.

"Walaupun baru berusia 10 tahun, tapi alhamdulillah Keisha sangat matang dan memahami. Hubungan kami bukan hanya sekadar ibu dan anak, tapi juga kawan baik.

"Dengan Keisha saya bawalah dia ke mana pun, panjat gunung, tidur dalam khemah, ke pulau atau ke ceruk kampung sekali pun, dia tak pernah merungut,” jelasnya ketika ditemui di majlis pelancaran kempen Setulus Ikhlas di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.



Tambah pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) ini, dia juga sering berbicara mengenai siapa dirinya yang sebenar.

"Apabila orang bercakap macam-macam mengenai saya, tentulah sedikit sebanyak memberi kesan. Tapi saya pilih untuk berbual dengannya, beritahu dia bagaimana saya sebenarnya dan Keisha boleh berfikir mana yang betul atau tidak mengenai saya,” jelasnya.

Ditanya mengenai bakat seni Keisha, Nabila mengakui Keisha juga meminati bidang ini, bagaimanapun dia mahu anaknya itu memberi perhatian kepada pelajaran terlebih dahulu.

Malah tambah Nabila, setakat ini dia terpaksa menolak banyak tawaran untuk menggandingkan mereka di kaca TV.

"Dia nampak minat juga, menyanyi, menari, berlakon. Tapi setakat ini yang saya benarkan adalah memasuki teater. Kalau boleh saya tak mahu dia menceburi dunia seni terlalu awal.

"Nikmatilah zaman kanak-kanak dia terlebih dahulu kerana ia tak akan kembali lagi. Pada pandangan saya, lampu di set penggambaran itu tidak elok juga untuk kulitnya.

"Tapi saya pernah beri Keisha rasa bagaimana menjadi Nabila Huda satu hari suntuk ketika FFM30 baru-baru ini. Bila dia melalui sesi interview dan sebagainya, baru dia tahu penatnya menjadi Nabila Huda (ketawa).

"Untuk tawaran berlakon memang ada, tapi saya terpaksa tolak. Saya rasa kami tak boleh bekerja bersama.

"Saya ada high expectations dan nanti saya akan push dia untuk beri lebih daripada apa yang sepatutnya,” ujar Nabila.

Keisha, wajah kesayangan Nabila.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Move on

Sementara itu, ditanya mengenai soal cahaya mata menerusi perkahwinan kali kedua bersama Mohd Izwan Johar, Nabila berkata, dia tidak merancang dan menerima sahaja andai kembali hamil selepas mengalami keguguran awal tahun ini.

Menganggap tiada rezeki untuk menimang cahaya mata, anak kepada rocker lagenda, Amy Search ini menerima takdir yang telah ditentukan kepadanya dan percaya ada hikmah yang tersendiri.

"Saya move on dan ok sahaja selepas disahkan keguguran. Tipulah kalau saya kata tak sedih, tapi takkan nak murung sahaja.

"Kalau ada rezeki lagi memang saya nak timang anak, Keisha pun teruja nak dapat adik,” jelasnya.

Nabila berkahwin dengan Izwan Johar pada 25 Disember 2015. Sebelum itu, Nabila terlebih dahulu mendirikan rumah tangga dengan Zaidy Zailani pada 2008 sebelum bercerai tiga tahun kemudian.