Tindakan tegas kepada peniaga gagal patuhi harga barang

Iklan
Sivanesan (kanan) menunjukkan harga yang ditetapkan dibawah SHMPP di Pasar Awam Tanjung Rambutan, hari ini.

IPOH – Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan dibawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena musim perayaan Aidilfitri.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, peniaga yang gagal mematuhi peraturan berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan turut memberikan kerjasama demi memastikan bekalan serta harga barang makanan di pasaran adalah berpatutan.

"Penentuan harga maksimum ini dibuat untuk pastikan harga yang berpatutan demi manfaat pengguna dan peniaga.

Iklan

"Selain itu ia membendung kenaikan harga yang tidak munasabah daripada peniaga yang tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media sempena pelancaran SHMMP di Pasar Awam Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak Saifullizan Kamarul Zaman serta ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Iklan

Difahamkan, SHMMP dilancarkan serentak di seluruh negara mulai hari ini dan akan berterusan selama 30 hari mulai 21 Mei hingga 19 Jun 2019.

Tambah Sivanesan, berdasarkan tinjauan di pasar awam berkenaan, pihaknya mendapati tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh peniaga di situ.

Malah katanya, tinjauan juga mendapati peniaga di pasar berkenaan menurunkan harga daripada lima hingga 30 peratus bagi barang keperluan seperti ikan kembung serta sayur-sayuran.

"Kesemua peniaga hendaklah mematuhi arahan selain mengamalkan sikap beretika ketika berniaga manakala pengguna pula tahu hak-hak mereka.

"Pengeluar, pemborong peruncit pula diharapkan tidak menaikkan harga secara mendadak selepas berakhirnya pelaksanaan SHMMP ini kelak kerana kita akan teruskan pemantauan walaupun selepas musim perayaan,” katanya.

Sementara itu Sivanesan berkata, hasil kajian yang dijalankan baru-baru ini mendapati bekalan makanan sempena musim perayaan Aidilfitri juga mencukupi.

Katanya, bekalan itu turut melibatkan santan yang dikatakan tidak mencukupi pada musim perayaan Aidilfitri.

"Selama ini tidak ada aduan yang mengatakan bekalan kelapa tak cukup dan yang keduanya, Khamis ini kita akan adakan perjumpaan dengan pihak persatuan penternak ayam untuk memastikan bekalan ayam segar, ayam hidup termasuk telur ayam mencukupi sepanjang tempoh musim perayaan Aidilfitri nanti,” katanya.