Jakim, Yayasan Restu bekerjasama tambah program diploma tahfiz

Iklan
Dr Mohamad Nordin (kanan) diberi penerangan oleh Abdul Latiff selepas melancarkan dua buah buku dan dua naskah Al-Quran pada Program Khatam Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2019M/ 1440H di Dewan Abdullah Bukhari, Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14 hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalin kerjasama dengan Yayasan Restu bagi mendapatkan kepakaran dalam tulisan khat untuk menambah nilai program pengajian Diploma Tahfiz Al-Quran di Darul Quran Jakim.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, Yayasan Restu melalui Nasyrul Quran yang berpengalaman dalam mencetak dan penerbitan al-Quran boleh berkongsi kepakaran bersama pelajar Darul Quran bagaimana untuk menyalin semula juzuk daripada kitab suci dalam ragam hias yang cantik dan menarik.

Iklan
Iklan

"Satu daripada syarat pengajian diploma tersebut ialah pelajar perlu menulis dan menyalin semula ayat-ayat Al-Quran yang dihafal. Ada yang mampu menulis dengan cantik dan ada juga yang sebaliknya.

"Dengan kerjasama ini, kita boleh menyelaras jenis tulisan atau kaligrafi tertentu melalui bimbingan yang diberikan Nasyrul Quran untuk digunakan oleh pelajar dalam melengkapkan pengajian mereka," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Khatam al-Quran Peringkat Kebangsaan yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latiff Mirasa di sini hari ini.

Menurutnya, kebolehan menguasai teknik tulisan khat yang baik berserta kemampuan menghasilkan ragam hias menarik boleh memberi nilai tambah kepada lepasan Diploma Tahfiz al-Quran pada masa akan datang.

Iklan

Sementara itu, Abdul Latiff berkata, yayasan itu bersedia berkongsi kepakaran melalui tenaga pengajar di sebuah kolej di bawah Yayasan Restu yang menawarkan pengajian dalam bidang seni mushaf atau seni khat.

"Kami memang ada pakar dalam tulisan khat dan atas sebab meningkatkan budaya menyalin al-Quran di kalangan umat Islam, kita sambut baik cadangan yang dibuat dan sedia berkongsi kepakaran yang ada," katanya. - Bernama