MELAKA TENGAH - Sejak beberapa hari Sungai Melaka mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan dipercayai akibat pencemaran sungai namun tidak menjejaskan aktiviti harian penduduk.
Penduduk Kampung Morten, Rafiah Mohamad, 58, berkata, dia yang rumahnya berdekatan pinggir sungai mengakui terpaksa menghidu bau busuk namun tidak dalam keadaan berterusan.
Menurutnya, dia juga kehairanan apabila mendapati banyak ikan talapia bersaiz besar mati namun tidak mengesyaki sama ada pencemaran ataupun sebaliknya.
"Kebiasaan jika bukan Ramadan ramai warga asing yang memancing di sekitar sungai ini namun keadaan berbeza nak lagi bila bau busuk mak cik tidak nampak ada orang yang memancing.
"Harap ia tidak berpanjangan sebab sayang bila banyak ikan yang mati jadi air pun semakin hitam," katanya.
Abu Bakar Mohamed, 72, berkata, situasi itu dipercayai kemungkinan air yang mengalir dari kawasan Perindustrian Krubong ke sungai ini selain pertembungan diantara air sungai dan air laut.
"Memang bau busuk tapi tidaklah teruk dan kami boleh lagi lakukan aktiviti seperti biasa, cuma nak hidu busuk kat luar rumah memang kuat.
"Sebelum ini pernah juga berlaku ikan mati pada tahun 2017 akibat pertembungan air sungai dan air laut menyebabkan ikan talapia mabuk dan mati," katanya.
Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew dalan sidang media berkata, hasil siasatan awal mendapati punca ikan mati bukan disebabkan pencemaran toksik seperti yang dilaporkan namun dipengaruhi air laut hinggakan kandungan garam meningkat dan tidak sesuai untuk ikan spesies talapia.
Menurutnya, perubahan cuaca yang telah lama tidak hujan sejak kebelakangan ini menyebabkan berlaku mendapan hingga air sungai menjadi kehitaman dan bukannya disebabkan pencemaran.
"Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri telah mengambil sampel di tujuh lokasi dan satu sampel pengawasan kualiti air sungai untuk dianalisa Jabatan Kimia.
Hasil siasatan yang dijalankan pegawai-pegawai mendapati bacaan parameter di kawasan lain baik tetapi di Barat Sungai Melaka mencatatkan 4.70mg dan memang ada garam dalam air selain hanya ikan dominan iaitu ikan talapia sahaja yang mati dan jika benar berlaku pencemaran pasti semua ikan yang akan mati," katanya.
Tambahnya, beliau yakin masalah ini dapat diselesaikan sekiranya terdapat penyelasan proses pengepaman air secara berkala oleh Jabatan Pengaliran Sungai (JPS).
"Kerajaan negeri mengambil berat isu air kerana kita bukan hanya menggunakan air untuk kegunaan harian tapi juga untuk pertanian dan pelancongan.
"Jika pintu barat dibuka secara perlahan-lahan untuk air mengalir saya yakin risiko ikan mati dapat dielakkan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sungai Melaka bertukar warna hitam, bau busuk