'Sebak anak tanya baju raya'

Iklan
Rosmiza (kiri) bersama Raja Rusmin menyampaikan pek makanan, beras dan wang tunai kepada keluarga Hamizi di Kampung Telaga Lanas semalam.
TUMPAT - Bisa sengatan ulat bulu laut masih ngilu dirasai tukang rumah, Hamizi Hamzah, 39, walau pun isi daging kakinya yang luruh semakin sembuh.

Harapan Hamizi, dia mahu bekerja semula sebagai tukang rumah tetapi kakinya belum boleh berjalan lagi sejak disengat ulat bulu laut empat bulan lalu.

Hamizi berkata, tiga anaknya mula bertanya tentang baju raya namun dia tidak mampu memberi jawapan.

Iklan
Iklan

"Sudah empat bulan tidak bekerja, makan dan minum pun harapkan sumbangan orang ramai dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang baharu diterima bulan lepas.

"Apabila anak tanya tentang baju raya, saya sebak," katanya.

Iklan

Hamizi berkata demikian ketika dikunjungi rombongan"Kita Kongsi' yang terdiri daripada wakil Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Royal Guest House Hotel (RGH); Kelantan Creative TV (KCTV) dan Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan di rumahnya di Kampung Telaga Lanas semalam.

Program Kita Kongsi di Tumpat turut disertai, Ketua Pegawai Eksekutif RGH, Raja Rusmin Raja Mahmud, Pengarah Operasi KCTV, Norazwatul Akmal Kasmuri, Setiausaha Kemudi, Rosmiza Kasim dan Setiausaha Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan, Muhammed Imran Mansoor.

Iklan

Kunjungan itu turut menyampaikan sumbangan wang tunai, pek makanan untuk berbuka puasa serta barangan keperluan harian melibatkan tiga keluarga asnaf di Tumpat.

Hamizi berkata, dia masih bergantung pada ubat dan serasi dengan kapsul tulang angsa tetapi kosnya besar.

"Harganya mahal, memang kewangan saya tak cukup nak beli ubat tersebut.

"Doktor juga ada sarankan ambil isi paha tampal di kaki yang tercabut isi daging terkena sengatan ulat bulu laut, tetapi masih dalam pertimbangan saya lagi,"katanya.

Hamizi berkata, isterinya, Siti Nurul Ain Supian, 30, mengandung enam bulan tetapi dia masih mampu menunggang motosikal menghantarnya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) setiap bulan.

Februari lalu, Sinar Harian melaporkan penyakit yang dihidapi tukang rumah ini didakwa terkena sengatan ulat bulu laut menyebabkan isi daging di kakinya luruh dan bernanah.

Sejak itu, Hamizi yang tinggal di kampung Telaga Lanas di sini terpaksa menahan sakit kaki kanan yang berdenyut, membengkak serta nampak tulang.

Hamizi disengat ulat bulu laut ketika mencari tiram di Laguna Kampung Jubakar Pantai untuk makan malam keluarga.

Sesiapa yang ingin membantu boleh salurkan ke dalam akaun Maybank Hamizi 153092090412 atau hubungi di talian 019-9993534.