Rumah musnah, warga emas lupa tutup dapur gas

Iklan
Gayah melihat keadaan rumahnya yang hangus dalam kebakaran petang tadi.

KUALA TERENGGANU- Seorang warga emas terpaksa tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Hiliran Jejawi, di sini, musnah dalam kebakaran dipercayai berpunca daripada kecuaiannya menutup api dapur gas selepas memasak.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang tadi, mangsa Gayah Mohd Amin, 79, meninggalkan rumah untuk pergi ke balai raya berhampiran bagi mengambil dana raya sebelum dihubungi jiran memaklumkan rumahnya sudah terbakar.

Iklan
Iklan

Menurut Gayah, sebelum tinggalkan rumah, memang dia ada panaskan ikan di atas dapur dan selepas itu dia menunaikan solat Zuhur.

"Selesai solat, saya terus keluar rumah dan langsung tidak teringat untuk menutup dapur gas.

Iklan

"Saya memang langsung tidak teringat perkara itu sehinggalah dimaklumkan tentang kebakaran ini dan ketika itu barulah saya tersedar yang tidak menutup api dapur gas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed turut melawat mangsa di tempat kejadian.

Gayah berkata, meskipun segala harta benda termasuk semua persiapan Aidilfitri musnah sekelip mata, namun dia tetap bersyukur kerana dia dan anak perempuannya, Noorhayati Azmi, 27, selamat daripada kebakaran tersebut.

Iklan

"Mungkin kami akan menumpang sementara waktu di rumah anak lelaki saya di Kampung Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, kerana kami sudah tiada sesiapa lagi di sini.

"Sambutan raya tahun ini juga mungkin suram sebab semua persiapan termasuk baju raya dah hangus," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, panggilan kecemasan diterima jam 2.12 petang dan tiba di lokasi jam 2.18 petang.

"Seramai 24 anggota dikejarkan ke lokasi termasuk dari Balai Bomba Kuala Terengganu dan Jalan Kota.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami dapati api sedang marak dan hampir 35 peratus bahagian rumah sudah hangus dijilat api," katanya.

Menurutnya, pihaknya masih belum dapat memastikan punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.