MELAKA TENGAH - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka kesal apabila segelintir individu melakukan perbuatan vandalisme pada tong pakaian terpakai yang disediakan di negeri ini.
Pengarahnya, Khairuladha Ab Mutalib berkata, tindakan itu menyebabkan tong berkenaan rosak dan pakaian serta fabrik yang disumbangkan orang awam ke dalam tong tersebut bertaburan di atas jalan seperti yang berlaku di kawasan Taman Angkasa Nuri Batu Berendam.
Menurutnya, sekali gus perbuatan itu bukan hanya mencacatkan pemandangan malah akan memberi imej negatif terhadap program itu yang telah bermula sejak 2017.
Katanya, syarikat tempatan RCOMM Lestari (NGO) dan Syarikat Life Line Clothing (LLC) telah diberi tanggungjawab untuk mengurus dan menyelia tong tersebut.
"Seperti tong di taman terbabit, LLC diberi tanggungjawab untuk mengambil pakaian berkenaan dan kali terakhir pada 11 Mei lalu.
"Namun kita kesal bila ada individu tidak bertanggungjawab yang menyelongkar dan meninggalkan pakaian dalam keadaan yang tidak tersusun serta bersepah," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Tambahnya, terdapat 19 tong yang ditempatkan di kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan 16 tong di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan kutipan dilaksanakan seminggu sekali berselang seli mengikut kawasan.
Menurutnya, sejak bermulanya program itu hingga setakat ini sebanyak 99,501 kilogram fabrik telah berjaya dikitar semula dan diselamatkan daripada dihantar ke tapak pelupusan Sungai Udang.
"LLC juga dalam proses untuk menukar fasiliti tong yang baharu memandangkan keadaan tong yang telah rosak termasuk disebabkan vandalisme.
"Kita akan berterusan mempertingkatkan kesedaran kitar semula dalam kalangan masyarakat dengan pelbagai aktiviti dan program," katanya.