KUALA TERENGGANU - Dua beranak terpaksa mengharungi Ramadan ini dalam keadaan sukar apabila rumah yang didiami mereka di Kampung Hiliran Jejawi, di sini hangus dalam kebakaran pada kira-kira jam 2 petang ini.
Norhayati Azmi, 27, yang tinggal di rumah itu bersama ibunya Gayah Mohd Amin, 79, tiada di rumah ketika kejadian kerana sedang dalam perjalanan menuju ke bandar Kuala Terengganu ketika itu.
Iklan
Iklan
Katanya, dia bersama ibunya baru sahaja keluar dari rumah itu beberapa minit apabila menerima panggilan telefon daripada saudara terdekat yang memberitahu rumahnya terbakar.
"Saya terus bergegas pulang ke rumah, saya memang tak tahu macam mana boleh terjadi (terbakar), bila saya sampai sahaja di rumah, memang telah seratus peratus terbakar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sedih dengan kejadian itu, buntu memikirkan kehidupan seterusnya memandangkan dia adalah ibu tunggal dan tidak bekerja, malah tidak diketahui di mana hendak berteduh selepas ini.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 2.12 petang dan apabila tiba di tempat kejadian, rumah itu telahpun musnah.
Katanya pihak bomba dengan kekuatan seramai 26 anggota mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memadamkan api dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat. - Bernama