DUNGUN - Seramai 300 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sura membaca al-Quran beramai-ramai sempena World #QuranHour peringkat sekolah Terengganu hari ini sekali gus menjadi penglibatan ketiga sekolah itu dalam program berkenaan sejak 2015.
Pengetuanya, Che Rashid Sulong berkata, penglibatan kali ini adalah sebagai kesinambungan penyertaan sekolah tersebut yang menjadi sekolah perintis di Terengganu mengadakan #QuranHour iaitu sejak empat tahun lalu.
Katanya, setelah diadakan hampir saban tahun, banyak impak positif program itu dapat dilihat kepada pelajar khususnya dalam menghayati al-Quran kerana sekolah berhasrat untuk melihat semua pelajar khatam al-Quran sebanyak sekali atau dua kali serta tidak buta al-Quran.
"Selepas #QuranHour ini diadakan secara tahunan juga kita lihat pelajar boleh mematuhi arahan kerana kita wajibkan mereka menunaikan solat Zohor berjemaah di surau sekolah setiap hari sejak tahun lepas lagi.
"Tahun ini surau kita mendapat suntikan dana dari penyumbang jadi kita sedang besarkan surau agar lepas ini solat Zohor berjemaah dapat dilakukan sekali sahaja kerana ketika ini dipecahkan kepada dua sesi disebabkan ruang solat yang kecil," katanya pada World #QuranHour SMK Sura yang diadakan di dewan sekolah itu.
Pada program itu, kesemua pelajar, guru dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sura bukan sahaja membaca al-Quran (talaqqi) tetapi turut mendengar terjemahan dan tafsirnya yang disampaikan penceramah, Ustaz Mohd Taufiq Afira Ab Rashid.
Mengulas lanjut, Che Rashid berkata, pihak sekolah berharap agar pelajar yang mengikuti #QuranHour tersebut dapat menyebar luaskan ilmu yang dipelajari dari program itu kepada keluarga dan adik-beradik apabila pulang dari sekolah.
"Ia supaya sikap suka membaca al-Quran menjadi rutin berterusan atau menjadi amalan hidup mereka," katanya.
Katanya, pihak sekolah juga turut membuka kelas mengaji al-Quran bagi anak-anak yang belum menguasai al-Quran pada musim cuti persekolahan tahun lalu.
"Walaupun percubaan kita menawarkan kelas al-Quran itu agak kurang mendapat sambutan mungkin disebabkan waktu cuti, pelajar ada aktiviti lain tetapi kita akan teruskan kelas ini dari semasa ke semasa dan akan berusaha menarik penyertaan pelajar terutama bagi mereka yang masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar ustaz dan ustazah kita," katanya.
Sementara itu, penyelaras program itu, Nik Nazmi Nik Nor berkata, penganjuran #QuranHour sememangnya memberi kesan besar kerana pihak sekolah dapat mengadakan tiga pecahan program lain iaitu tahsin al-Quran, Hafaz al-Quran dan tadarus al-Quran.
Katanya, pada tahun lalu program itu diadakan di Masjid An Naim (Masjid Biru) dengan kerjasama Kolej Vokasional Dungun dan beberapa buah lagi sekolah lain.
"Program ini sekarang sudah menjadi acara tahunan sekolah dan ia akan diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang," katanya.