Derita Syukri hidap kanser mata, hidung

Iklan
Syukri (tengah) bersama Samsiah dan Johan di rumah mereka di Kampung Tanjung Piai, Serkat.
PONTIAN - Bantuan terus dihulur bagi meringankan beban seorang nelayan yang mempunyai anak menghidap penyakit kanser mata dan hidung.

Mohd Syukri, 9, dijangka menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur pada Januari depan dengan kos pembedahan dianggarkan sebanyak RM18,000 ditanggung Baitulmal Johor.

Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan, menghulurkan sumbangan menerusi tabung kebajikan nelayan bagi membantu ahlinya Johan Zainal, 60, yang merupakan nelayan di Tanjung Piai.

Pengurus PNK Johor Selatan, Saiful Efendi Abdul Halim berkata, pihaknya sedia maklum keadaan kesihatan Syukri yang memerlukan pembedahan segera bagi penyakit kanser yang dihidapinya itu.

Menurutnya, Johan yang merupakan ahli PNK Johor Selatan sudah beberapa kali hadir ke pejabat bagi mendapatkan surat pengesahan dan sokongan proses mendapatkan bantuan pelbagai pihak.

"Kami bantu Johan dengan mempermudahkan urusan berkenaan. Selain itu, bantuan kewangan dan peralatan turut diberikan persatuan kepada beliau.

"Lawatan ke rumah Johan turut diadakan bagi mendengar sendiri masalah keluarga itu,” katanya.

Jelasnya, pakatan nelayan Tanjung Piai dan nelayan-nelayan di bawah PNK Johor Selatan turut menghulurkan bantuan menerusi kutipan sumbangan.

"PNK Johor Selatan sentiasa terbuka membantu Johan dan anaknya Syukri,” katanya.

Dalam pada itu, Johan bersyukur atas keprihatinan PNK Johor Selatan yang menghulurkan bantuan bagi membolehkan anak bongsu dari dua beradik itu dibedah dan menjalani rawatan kanser.

Katanya, aktiviti menangkap ikan yang merupakan sumber pendapatan utamanya terpaksa dikurangkan kerana tidak sihat, selain faktor cuaca yang tidak menentu.

"Terima kasih kerana membantu, ia sangat bermakna buat kami sekeluarga,” katanya.

Pada 14 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan Syukri berubah pendiam selepas mengetahui dia menghidap penyakit kanser.

Syukri juga kerap demam sejak setahun lalu dan mata kanan semakin membesar berbanding kiri.

Dia bersama ibu dan bapanya berulang-alik ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru sebelum ke Hospital Kuala Lumpur.