JOHOR BAHRU -"Tahun lalu, saya dan adik hanya pakai baju raya tahun sebelumnya kerana masih elok. Tetapi tahun ini, seronok betul dapat pakai baju raya baharu," ujar Muhammad Firdaus Musa, 12.
Muhammad Firdaus dan adiknya, Muhammad Taufiq, 10 merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Masai antara 73 murid yang dibelanja pakaian raya menerusi program tanggungjawab sosial anjuran Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang.
Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu, bertambah teruja dia dan adik serta kawan-kawannya dapat memilih sendiri pakaian raya yang diminati ketika membeli-belah di Jakel Bandar Baru Uda, di sini, hari ini.
"Ayah, Musa Absin, 36 bekerja sebagai pembantu jurukimpal, manakala ibu, Melna Abd Mijan, 40 tidak bekerja dan kami tinggal di Pasir Gudang.
"Biasanya baju raya kami adik beradik ditukar dua tahun sekali. Terima kasih kepada Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang yang sudi belanja baju raya untuk saya dan adik," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Tabung Kebajikan Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Dr Nor Aizal Che Hamzah berkata, program tersebut memasuki tahun keenam penganjuran yang mana setiap tahun sekolah berlainan dipilih.
"Murid yang dipilih terdiri dalam kalangan yang memerlukan yang mana kita peruntuk setiap murid dibelanja lebih kurang RM200 selain turut menerima duit raya membabitkan peruntukkan keseluruhan program kira-kira RM15,000.
"Seramai 30 staf hospital juga turut membantu murid-murid memilih pakaian raya mereka. Kita harap program ini dapat memberikan kegembiraan serta keceriaan kepada mereka untuk meraikan syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi," katanya.