SEJAK akhir-akhir ini, isu warga asing kembali hangat di Malaysia. Sebenarnya ia bukan perkara baharu. Sudah bertahun-tahun kita mendengar pelbagai cerita kurang enak berkaitan warga asing.
Kemasukan warga asing di negara ini dipengaruhi pelbagai faktor. Antaranya kerana pertumbuhan ekonomi negara ini lebih baik berbanding negara mereka.
Kebergantungan majikan terhadap tenaga kerja pekerja asing juga menjadi salah satu sebab. Lebih jimat kerana gaji yang lebih rendah berbanding pekerja tempatan.
Bagi warga asing, gaji rendah bukan isu kerana wang yang dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing menjadi lebih tinggi nilai di negara mereka.
Ironinya, kehadiran mereka tidak banyak menyumbang kepada negara sebaliknya memberi kesan terhadap mata wang negara mengalir ke luar, malah mendorong kepada masalah jenayah.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2017 mencatatkan bilangan penduduk di Malaysia adalah seramai 32.03 juta dengan 3.29 juta merupakan warga asing.
Jumlahnya meningkat sedikit pada 2018 kepada 32.38 juta penduduk dengan 3.32 juta ialah warga asing. Itu tidak termasuk yang masuk ke negara ini secara haram. Tidak mustahil jumlahnya terus meningkat tahun ini dan pada tahun-tahun akan datang.
Jumlah pelajar asing yang melanjutkan pengajian di Malaysia pula dianggarkan seramai 170,000 orang dan dijangka meningkat kepada 200,000 orang menjelang 2020.
Jika dahulu, lambakan warga asing dari Bangladesh atau Nepal menjadi bahan bualan tetapi sejak akhir-akhir ini, warga Afrika pula jadi perhatian selepas berlakunya kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang di Cyberjaya baru-baru ini.
Kehadiran warga Afrika sebenarnya bermula sejak awal tahun 2000 ketika banyak institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang hampir gulung tikar disebabkan pelajar tempatan lepasan SPM tidak berminat menyambung pengajian di situ.
Bagi meneruskan kelangsungan, kebanyakan IPTS beralih kepada pelajar asing. Bermula dari situ, ramai warga Afrika mula masuk ke negara ini untuk melanjutkan pengajian.
Sebab itu, jarang sekali kita melihat warga Afrika di negara ini bekerja di kawasan pembinaan seperti warga Indonesia, atau bekerja kilang seperti warga Nepal, apatah lagi bekerja di restoran seperti warga Bangladesh.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pada 2015 mendesak kerajaan memperketatkan syarat kemasukan warga Afrika ke negara ini yang memberi alasan mahu melanjutkan pelajaran.
"Beberapa aduan yang PPIM terima mendapati selepas mereka mendaftar masuk di institusi pengajian tinggi, ramai warga Afrika tidak mengikuti kuliah. Sebaliknya menghilangkan diri dan menimbulkan pelbagai masalah,” katanya.
Empat tahun berlalu, kenyataan Nadzim bagai tiada kesan walaupun sudah banyak tersiar dalam media massa pelbagai kes jenayah membabitkan warga Afrika sehingga mendatangkan kebimbangan kepada rakyat tempatan.
Tidak dinafikan, tidak semua warga Afrika masuk ke negara ini melakukan jenayah kerana ada juga yang menjaga kelakuan mereka. Namun ibarat ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’, perbuatan segelintir warga Afrika yang terlibat dalam jenayah menyebabkan semua mereka terpalit imej tidak baik.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud mendedahkan, sepanjang 2018 sehingga kini, seramai 282 warga Afrika telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen sepanjang 2018 hingga kini.
Begitu juga penipuan melibatkan mata wang asing atau black money scam, penipuan dilakukan sindiket warga Afrika dengan memperdaya mangsa terutama rakyat tempatan yang dikenali di laman sosial untuk mengeluarkan sejumlah wang.
Maka, tidak hairanlah ada warga Afrika berstatus pelajar kolej boleh hidup mewah tinggal di kondominium di Cyberjaya dengan sewa antara RM1,000 dan RM2,000 sebulan serta menaiki kereta mewah sehingga menimbulkan persoalan:"Mana mereka ambil duit?”
Cuma persoalan yang masih berlegar di kepala masyarakat tempatan, mengapa Malaysia masih menjadi pilihan penjenayah warga Afrika untuk melakukan scammer.
Jawapannya mudah, penjenayah warga Afrika ini menganggap rakyat Malaysia mudah ditipu walaupun kegiatan mereka sudah berulang kali didedahkan oleh media massa.