BATU PAHAT – Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) tampil dengan inisiatif sendiri untuk membantu golongan yang memerlukan khususnya mereka yang tinggal di kawasan pentadbirannya melalui Sudut Wakaf.
Yang Dipertuanya, Mohd Hafiz Aliman berkata, Sudut Wakaf ini menawarkan pelbagai barangan keperluan harian seperti beras, gula, susu, tepung dan minyak masak yang boleh diambil secara percuma.
"Usaha ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MDYP bersama Persatuan Kebajikan MDYP yang berjaya mengumpulkan sumbangan barangan keperluan daripada kakitangan kami sendiri.
"Ini kerana, di MDYP sendiri ada pekerja yang kurang berkemampuan dan tujuan utama Sudut Wakaf ini bagi memastikan tidak ada kakitangan kami atau mana-mana pihak di Yong Peng ini lapar atau terputus makanan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sudut Wakaf di Ruang Legar Utama MDYP, di sini, semalam.
Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Kebajikan MDYP, Azmee Awang; Ahli Majlis MDYP Zon 10, Jacqualine Neo Poi Hoon dan Ahi Majlis MDYP Zon 13, Tok Kim Huwa.
Menurutnya, sesiapa sahaja yang berada dalam kesulitan dan memerlukan bantuan boleh mengambil barang-barangan yang disediakan di Sudut Wakaf berkenaan secara layan diri tanpa sebarang proses pendaftaran.
"Bagaimanapun, saya sarankan mereka yang perlu bantuan ambil barangan sekadar yang diperlukan sahaja dan kami tidak pernah pandang mereka yang ambil dengan persepsi buruk kerana ada masanya memang kita akan berada di dalam kesempitan.
"Sudut Wakaf ini hanya beroperasi pada waktu bekerja sahaja dan kami juga mengharapkan kerjasama orang ramai sama ada badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat-syarikat korporat untuk turut sama menyumbang barangan keperluan,” katanya.
Pada masa sama, selain daripada aktiviti berwakaf, Persatuan Kebajikan MDYP dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Masyarakat MDYP juga akan menyerahkan sumbangan Bakul Ramadan kepada 60 penerima di sekitar kawasan pentadbirannya.
Sementara itu, salah seorang penerima bantuan Sudut Wakaf, Abdul Rahim Aran, 44, berkata, dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Klinik Kesihatan Yong Peng mengakui pendapatannya hanya sekadar cukup-cukup makan sahaja.
"Dengan gaji yang tidak seberapa, saya terpaksa menyara tujuh anak berumur antara dua hingga 13 tahun dan isteri pula tidak bekerja dan kadang-kadang saya terpaksa gunakan wang simpanan saya sementara tunggu gaji.
"Persiapan hari raya juga ala kadar saja, hanya lebih kepada anak-anak dan ada juga beberapa pihak yang tampil bagi sumbangan baju raya dan ini pun sudah cukup bantu ringankan beban kami,” katanya.