JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 merampas 12 unit bubu naga di sekitar Pengerang dan Kukup, Pontian pada 20 dan 21 Mei lalu.
Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, kesemua bubu naga tersebut dikesan ketika pihaknya menjalankan tugas Op Gelora Khas Musim Perayaan selain penguatkuasaan dan keselamatan sempadan.
"Bubu tersebut mengakibatkan kemusnahan ekosistem perikanan apabila memerangkap semua jenis anak-anak ikan dan hidupan lain.
"Kesan jangka panjang akan mengakibatkan tumbesaran ekosistem tergugat dan terganggu," katanya di sini hari ini.
Khon Chiang berkata, para nelayan diseru supaya lebih beretika dan mempunyai kesedaran terhadap ekosistem perikanan yang menjadi punca pendapatan mereka.
"Hasil yang semakin berkurangan dilihat akan juga memberikan kesan kepada ekonomi.
"PPM Wilayah 2 berharap masyarakat maritim dapat meningkatkan kesedaran bersama dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim, pelanggaran undang-undang dan peraturan serta sebarang jenis maklumat," katanya.
Menurutnya, dari awal tahun sebanyak 208 kes membabitkan 281 bubu naga dirampas yang direkodkan di kawasan pentadbiran PPM Wilayah 2 manakala pada tahun lalu, sebanyak 462 kes direkodkan dengan 485 bubu naga dirampas.