PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Sultan Pahang kelima, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi.
"Assalamualaikum dan Salam Ramadan,
"Berita kemangkatan Almarhum Paduka Sultan Hj Ahmad Shah, merupakan berita sedih buat seluruh rakyat Pahang dan juga rakyat Malaysia termasuk saya sendiri.
"Seorang Sultan yang terkenal berjiwa rakyat, mudah didampingi dan disenangi ramai," tulis Datuk Siti di Instagramnya.
Siti juga turut mengimbas momen membuat persembahan di hadapan Almarhum Tuanku.
"Sebagai rakyat Pahang yang berpeluang membuat persembahan di hadapan Almarhum Tuanku sejak saya bersekolah rendah dan seterusnya menjadi artis, banyak kenangan yang bermakna dan akan saya ingati sampai bila-bila," katanya.
Seterusnya Siti dan suami mengucapkan dan menyembah salam takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong,KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, seluruh kerabat dan keluarga DiRaja Pahang di atas kemangkatan Almarhum Paduka Sultan Hj Ahmad Shah AlMusta'in Billah.
"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Almarhum dan digolongkan dalam kalangan para solehin. ALfatihah," tulisnya lagi.