KUALA TERENGGANU - Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) akan melihat semula Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 bagi membolehkan kes tuntutan nafkah dikecualikan daripada terikat dengan prosedur dalam enakmen berkenaan.
Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd, berkata, pihaknya mengakui kes hadanah dan tuntutan nafkah berdepan masalah prosedur rumit sehingga memakan masa lama bagi menyelesaikannya.
Wan Mohd Zakri berkata, enakmen tatacara berkenaan terlalu panjang dan setiap prosedurnya perlu diikuti menyebabkan berlaku kelewatan dalam penyelesaian kes hadanah dan tuntutan nafkah.
"Kita akan melihat semula enakmen berkenaan. Kita bercadang untuk mengkategorikan kes tuntutan nafkah sebagai satu 'kes istimewa' yang mungkin tidak perlu terikat pada prosedur yang ketat tadi.
"Kalau diikutkan dalam Bab 4 bagi tajuk pelaksanaan perintah di bawah enakmen itu, ada 13 langkah bermula daripada Seksyen 175 hingga Seksyen 185 enakmen berkenaan yang kita perlu ikuti dan tidak boleh langkau sebab tuntutan nafkah masih lagi kes mal.
"Tetapi jika kita kategorikan ia dalam 'kes istimewa' yang tidak terikat lagi dengan enakmen tatacara ini, in insya-ALLAH prosesnya akan menjadi lebih mudah dan dapat diselesaikan lebih cepat.
"Sebagai contoh, mahkamah memerintahkan seorang bapa membayar nafkah RM500 kepada anak, jika si bapa tidak setuju, dia tidak perlu lagi pergi kepada peringkat rayuan yang memakan masa panjang, sebaliknya hanya perlu membuat permohonan pindaan sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan dan Pendahuluan Nafkah Anak Bahagian Sokongan Keluarga JKST di sini semalam.
Majlis dirasmikan ADUN Wanita Terengganu, Zuraidah Md Noor.
Jelas Wan Mohd Zakri, model berkenaan sudah dilaksanakan di negara luar seperti New Zealand dan Sepanyol, dengan mengasingkan kes berkaitan hadanah daripada terikat dengan prosedur enakmen tatacara berkenaan bagi mengelak kelewatan penyelesaian kes.
"Di negara luar seperti Australia, Sepanyol dan New Zealand juga mempunyai Mahkamah Keluarga kerana mahkamah itu boleh terkecuali daripada akta prosedur sivil yang mempercepatkan pengurusan dan penyelesaian kes," katanya.
Terdahulu, seramai 33 orang menerima Bantuan Pendahuluan Nafkah secara tunai dengan jumlah keseluruhan RM56,650, manakala dua lagi menerima Dana Pendahuluan Nafkah keseluruhan bernilai RM12,900.