GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh pameran Laporan Kesan Penilaian Kepada Alam Sekeliling (EIA) untuk projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) yang akan berakhir 28 Mei ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pameran yang bermula pada 29 April lalu itu merupakan sesi kedua untuk orang awam menelitinya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri merasakan tiada keperluan untuk tempoh pameran itu dilanjutkan berikutan sesi pertama yang diadakan pada Jun 2017 telah selesai.
"Ini kerana, sesi pada kali ini adalah kali kedua yang dijalankan. Sebelum ini, kita dah buka kepada orang awam untuk meneliti laporan tersebut sebelum memberi ulasan.
"Saya merasakan masa yang diberikan untuk sesi kedua ini sudah cukup untuk orang awam memberi maklum balas mereka kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya pada sidang media selepas melancarkan perkhidmatan e-panggilan, cALLme Cab di pekarangan Komtar tadi.
Kon Yeow berkata demikian ketika mengulas mengenai permintaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang meminta agar tempoh pameran laporan EIA dilanjutkan untuk memberi masa kepada orang ramai menelitinya.
Terdahulu, sekumpulan NGO di negeri ini mendakwa Kerajaan Pulau Pinang tidak telus dalam projek mega tersebut kerana pameran 20 jilid cadangan yang diberikan amat terhad.
Mereka mendakwa, orang awam tidak dibenarkan membuat salinan dan mengambil gambar selain tiada perincian kos komponen Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) termasuk penambakan dinyatakan.
Sehubungan itu, mereka meminta Kerajaan Pulau Pinang memanjangkan tempoh pameran tersebut selain menyatakan kesan perlombongan pasir di sekitar kawasan terlibat.
Mereka turut meminta Kerajaan Pulau Pinang menerangkan lebih lanjut mengenai kesan perlombongan pasir kepada kawasan sekitar serta orang awam sebelum projek itu dimulakan.
Projek PSR melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah dan ia sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan PTMP bernilai RM46 bilion.
Projek mega bernilai berbilion ringgit itu merangkumi LRT, monorel dan tiga buah lebuhraya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.