Kawalan ketat sempadan Malaysia-Thailand musim perayaan ini

Iklan
Hasanuddin bersama anggota Polis Marin Pengkalan Kubor meronda dekat Kuala Takbai.

TUMPAT - Keluar masuk negara Malaysia - Thailand perlu melalui jalan sah kerana kawalan ketat di sempadan sepanjang Aidilfitri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kawalan sempadan dipertingkatkan supaya perairan negara di Kelantan tidak dibolosi kerana ada yang menjadikan musim perayaan untuk mereka bebas menyeberangi sempadan melalui jalan tidak sah.

Iklan
Iklan

Katanya, polis Kelantan dengan pihak berkuasa Thailand termasuk Pasukan Polis Marin Thailand bekerjasama dalam mengawal sempadan agar tidak berlaku jenayah rentas sempadan di musim perayaan ini.

"Ada yang beranggapan, bila dekat nak raya, tak ramai anggota penguatkuasa bertugas, tanggapan itu salah kerana mereka bertugas seperti biasa dan tidak mustahil anggota ditambah.

Iklan

"Jangan jadikan alasan kena beratur panjang di pintu masuk sempadan sebagai alasan untuk mereka menyeberangi sempadan melalui jalan tidak sah kerana ia menyalahi undang-undang.

"Sekiranya mereka ditahan oleh pihak berkuasa sudah pasti bakal menyusahkan diri sendiri di samping berhadapan dengan denda yang tinggi," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dekat Kuala Takbai di sini.

Iklan
Hasanuddin bersama anggota Polis Marin Pengkalan Kubor meronda dekat Kuala Takbai.

Hadir sama, Ketua Inspektor Polis Marin Stesen 3 (Narathiwat), Leftenan Kolonel Natphong Takew, Ketua Inspektor Polis Marin Stesen 4 (Takbai), Mejar Thampapon Chuangcham serta Timbalan Komander Polis Sempadan Diraja Thailand, Kapten Abdulhakim Chekmoh.

Sebelum itu, Hasanuddin singgah di Sekatan Jalanraya (SJR) Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Neting dan SJR Pasukan Gerakan AM(PGA) Pantai Sri Tujoh untuk beramah mesra dengan anggota bertugas.

Hasanuddin berkata, selain kawalan sempadan dengan Thailand, agensi lain di sempadan seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut membantu.

"Guna pintu masuk yang sah di tiga pintu masuk iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Rantau Panjang, ICQ Bukit Bunga dan ICQ Pengkalan Kubor," katanya.