'Jika masih merangkak dan meraba-raba, lebih baik undur saja'

Iklan
A Kadir Jasin

SHAH ALAM - Wartawan veteran, A Kadir Jasin menyarankan agar mana-mana menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), yang masih kurang menonjol dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk mengundurkan diri secara sukarela.

Katanya, tempoh setahun yang diberikan sebagai pentadbir cukup lama, maka jika masih ada individu berkenaan yang masih lagi rendah prestasinya eloklah letak jawatan.

Iklan
Iklan

"Jika ada yang masih merangkak dan meraba-raba setelah setahun diberi peluang dan tanggungjawab maka adalah kewajipan kita meminta mereka memikirkan semula kedudukan mereka dan, jika mereka berasa perlu, mengundurkan diri secara sukarela supaya orang lain boleh dilantik menggantikan mereka.

"Saya rasa masa setahun sudah cukup lama. Mungkin tidak kepada penjawat tetapi bagi rakyat jelata yang menaruh harapan, ia mungkin macam selama-lamanya," katanya yang dipetik menerusi penulisan di blognya hari ini.

Iklan

Katanya, bagi rakyat setahun adalah tempoh yang cukup lama bagi mereka kerana mereka mengharapkan perubahan dan pembaikan apabila mereka mengundi parti berkenaan.

"Kita hanya mampu memberi pandangan dan menaruh harapan. Selebihnya adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri untuk memikirkan tindakan sewajarnya.

Iklan

"Beliau tentu lebih arif kerana beliau sendiri memberi markah 50 peratus sahaja kepada anggota Kabinet beliau," katanya.

Tambahnya, pada fahaman beliau, ini adalah markah purata.

"Ada yang bawah 50 dan ada yang atas 50. Yang bawah daripada 50 itu bolehlah dijadikan sasaran untuk diganti.

"Rakyat jelata, khususnya yang mengundi PH, berhak untuk membuat penilaian siapa yang pada pengetahuan dan pandangan mereka, berjaya atau gagal memenuhi aspirasi mereka," katanya.

Jelasnya dalam perkara ini, begitu juga dengan lantikan penting dalam Perkhidmatan Awam, agensi amanah dan syarikat berkaitan kerajaan.

"Sudah sampailah masanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bekerjasama dengan kerajaan membuang virus supaya cabang eksekutif dan pentadbiran boleh berganding bahu berkhidmat untuk negara dan rakyat jelata.

"Begitu jugalah dengan pengurusan agensi Amanah dan GLC serta GLIC. Mana-mana yang tidak sehati dengan kerajaan PH atau berasa kurang layak eloklah mengundurkan diri.

"Tidak terkecuali adalah ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan yang dilantik oleh PH sendiri," katanya.