SHAH ALAM - Seorang bapa melahirkan rasa syukur selepas anaknya, Nurhaiqal Hakimi Md Yunus,15, selamat setelah terkena renjatan elektrik di sebuah tiang lampu dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu.
Menurut Md Yunus Ibrahim,51, sewaktu kejadian tersebut, anaknya keluar untuk bermain futsal bersama rakan-rakannya sekitar jam 10 malam berhampiran kawasan Putra Bestari, Subang Jaya.
Selepas selesai bermain, Md Yunus berkata, anaknya kemudian berehat di salah satu tiang lampu berhampiran kawasan tersebut.
"Kawan anak saya beritahu Nurhaiqal tiba-tiba melekap di tiang tersebut dan meronta-ronta sebelum pengsan dalam tempoh hampir 10 minit.
"Sewaktu itu, mulut anak saya juga sedikit berbuih ekoran renjatan daripada tiang lampu tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Mengulas lanjut, Md Yunus berkata rakan-rakan anaknya telah menghantar Nurhaiqal pulang ke rumah selepas dia sedar daripada pengsan akibat renjatan itu.
Isterinya kemudiannya membawa Nurhaiqal untuk mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam pada hari yang sama susulan insiden terbabit.
"Berikutan itu, anak saya telah ditahan untuk pemerhatian selama dua malam dan Alhamdulillah tiada organ dalaman utama yang mengalami kerosakan
"Buat masa ini juga, dia masih menjalani rawatan susulan di poliklinik," katanya.
Dalam pada itu, Md Yunus berkata, pihaknya berharap agar masyarakat luar dapat memandang serius mengenai perkara ini dan tidak sesuka hati bersandar pada mana-mana tiang lampu bagi menggelakkan insiden sama berulang.
Tambahnya, pihak berkaitan dan kontraktor pengurusan juga perlu memainkan peranan yang penting dalam memastikan keselamatan masyarakat di sesebuah kawasan terjamin.
"Kita tak tahu tiang lampu itu dapat mengundang risiko renjatan yang bahaya. Dan disebabkan itulah semua pihak perlu main peranan untuk pastikan keselamatan terjamin," katanya.
Tambah Md Yunus, pihaknya belum membuat sebarang laporan polis berkaitan kes itu dan masih menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang tersebut.