KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia di Indonesia dinasihatkan untuk terus mengelak berada di titik-titik perhimpunan awam seperti Tanah Abang, Tamrin, Sabang dan Menteng.
Nasihat itu diberikan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta melalui perkongsian di Twitter.
"Terus mendapatkan maklumat terkini melalui saluran berita yang sah. Sila patuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” jelasnya.
Menurut pihak kedutaan, beberapa jalan utama di pusat bandar Jakarta telah ditutup pihak berkuasa berikutan perhimpunan di hadapan bangunan Komisi Pemilihan Umum (KPU) dan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu).
"Rakyat Malaysia di Jakarta dinasihatkan untuk merancang perjalanan anda sebaik-baiknya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” nasihat pihak kedutaan lagi.
Rakyat Malaysia yang ingin ke Indonesia diminta untuk mendaftar dengan kedutaan melalui pautan goo.gl/ixYVfy. Dan bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular kecemasan di Indonesia boleh menghubungi talian +62215224947.
Menurut media tempatan, sekurang-kurangnya 20 orang ditahan kerana mencetus rusuhan di Jakarta sebagai membantah keputusan pilihan raya umum negara itu selepas calon nombor satu Presiden, Joko Widodo atau Jokowi diisytiharkan menang, kelmarin.
Jokowi diumumkan menang dengan 55.5 peratus undi berbanding pesaingnya, Prabowo Subianto yang hanya memperoleh 44.5 peratus undi.
Kemenangan tersebut bermakna Presiden Jokowi mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua dan akan berkhidmat bagi tempoh 2019 - 2024.