KUALA TERENGGANU - Selepas dua minggu dilaporkan hilang, seorang lelaki kurang upaya (OKU) ditemui menginap di sebuah hotel di sekitar bandar, di sini, Isnin lalu.
Mohd Shahrel Mohd Hanafiah, 34, ditemui ibunya, Rokiah Harun, 66, dan sepupunya, Mohd Khairul Omar, 31 setelah mendapat panggilan daripada pihak pengurusan hotel yang beroperasi di Jalan Tok Lam.
Mohd Khairul berkata, ketika ditemui, sepupunya itu kelihatan terpinga-pinga dan puas dipujuk untuk pulang ke rumah.
"Kami ketuk pintu bilik hotel, lepas dia buka pintu, dia nampak macam terpinga-pinga. Saya pujuk dia balik rumah, dia enggan.
"Dia duduk atas katil sambil termenung dalam tiga minit dia beritahu ada gangguan. Lepas tu adik saya datang dan gendong dia. Bila tanya mana motosikal, dia beritahu motosikal dia tinggal di sebuah surau di Kampung Bukit Kecil.
"Rupa-rupanya selama ni dia jalan kaki saja untuk ke mana-mana sebab dia tinggalkan dan kunci motosikal di situ,” katanya.
Mohd Khairul turut memberitahu sepupunya itu telah mengeluarkan kesemua wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperolehnya daripada akaun bank dan telah belanja membeli barangan keperluan seperti pakaian.
"Kami dapati wang KWSP yang diterimanya sebanyak RM10,000 telah dikeluarkan dan dia beli pakaian sebab keluar dari rumah sebelum ini hanya sehelai sepinggang,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khairul merakam terima kasih atas liputan akhbar ini mengenai kehilangan sepupunya itu.
"Terima kasih atas liputan Sinar Harian. Kami bersyukur sebab dia dah ditemui. Apa yang merunsingkan ialah sekiranya dia buat hal lagi, lari dari rumah lagi selepas ini.
"Sebelum ini saya ada meninggalkan nombor telefon di beberapa buah hotel supaya memaklumkan sekiranya menemui Mohd Shahrel. Mujurlah pihak hotel prihatin terhadap kejadian ini,” katanya.
12 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan seorang ibu di Kampung Kubang Parit, di sini, runsing memikirkan anaknya yang hilang sejak sehari sebelum Ramadan.
Rokiah berkata, dia risau keselamatan anaknya kerana mempunyai masalah mental dan berharap agar sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai anaknya itu dapat memberitahunya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tak lena tidur anak OKU hilang sehari sebelum Ramadan