Dua naskhah al-Quran ditemukan masih elok

Iklan
Salmiah menunjukkan Al-Quran yang ditemukan dalam keadaan elok di gerai majikannya yang musnah dalam kejadian kebakaran semalam.

KUALA LUMPUR - Dalam keadaan buntu disebabkan gerai jualan di Bazar Melayu Jalan Masjid India yang terbakar awal pagi semalam, salah seorang peniaga terlibat dikejutkan dengan penemuan dua naskhah al-Quran yang masih elok dalam lot yang musnah dijilat api.

Salmiah Abdullah, 27, merupakan pekerja gerai menjual pakaian di lot 12 dan 13 menyedari hal itu kira-kira jam 10 pagi ketika wartawan Sinar Harian turut sedang meninjau lokasi kejadian itu semalam.

Iklan
Iklan

Al-Quran pertama ditemukan di bahagian tengah gerai dan ketika Sinar Harian merakamkan gambar penemuan pertama itu, seorang lagi pekerja menemukan satu lagi naskhah al-Quran terletak betul-betul dalam kawasan yang musnah dijilat api dan apabila dibelek, hanya bahagian kulit dan beberapa helaian di bahagian bucu al-Quran terbakar.

Secara logiknya, jika dilihat pada kedudukan al-Quran itu ditemukan, ia mungkin sudah menjadi debu sebagaimana stok pakaian yang disimpan di situ.

Iklan
Keadaan al-Quran kedua yang ditemui dalam sisa kebakaran.

"Bos dan saya selalu baca, selalunya saya simpan di bawah, tetapi malam kejadian itu saya gantung bersama telekung.

"Sepatutnya ia terbakar tetapi keadaannya masih elok. Hanya bahagian luar yang terjejas manakala sebahagian isi dalam sedikit basah terkena air," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Dalam kejadian kebakaran itu, Salmiah berkata, dia mengetahui kejadian berlaku pada jam 2 pagi setelah pulang kira-kira jam 12.30 malam itu.

"Majikan saya adalah pemborong, jadi banyak stok baharu masuk semua musnah. Ada pakaian yang digantung yang masih nampak pun semua rosak.

"Kerugian mungkin lebih RM200,000. Majikan saya datang tengok sekejap dan dia pun dalam keadaan terkejut," katanya.

Dalam kejadian 1.35 pagi semalam, sekurang-kurangnya 30 lot gerai musnah dalam kebakaran yang dikatakan berpunca dari salah satu lot gerai.