KLANG - Hujan lebat dan ribut kira-kira jam 1 tengah hari tadi menyebabkan lebih 15 khemah peniaga di tapak Bazar Aidilfitri Jalan Taiping, di sini, rosak dipukul ribut.
Sebahagian khemah itu rosak teruk dan ranap sama sekali menyebabkan barangan jualan antaranya pakaian, kasut dan selipar rosak, sekali gus menyebabkan peniaga terpaksa menanggung kerugian dalam kejadian itu.
Peniaga pakaian kanak-kanak, Rosli Mohd Yusof, 36, berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap di rumah untuk ke tapak jualan.
"Ketika itu memang hujan lebat dan saya tak sangka bila sampai di tapak jualan, saya lihat khemah dah runtuh.
"Luluh hati saya apabila melihat habis semua pakaian basah dan khemah juga turut rosak dipukul ribut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, akibat kejadian itu, dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM15,000.
"Sepatutnya kami mula berniaga jam 2 petang. Kini kami terpaksa mengemaskan semua barangan niaga dan tidak boleh meneruskan perniagaan buat masa ini.
"Mungkin kami terpaksa tutup gerai jualan selama tiga hari untuk mengemas dan membeli khemah yang baru. Walaupun perit, kami anggap ini dugaan Ramadan," katanya sayu.
Seorang lagi mangsa, Fairul Abdul Jalil berkata, hujan mula turun jam 12 tengah hari, namun semakin lebat dan disertai ribut kira-kira satu jam kemudian menyebabkan khemah di tapak jualan roboh.
"Saya berada di dalam khemah ketika ribut berlaku. Mujur saya sempat mengalihkan pakaian, kalau tak mungkin semuanya basah ditimpa air hujan.
"Rata-rata peniaga tiada di situ berikutan kebanyakannya hanya akan membuka gerai pada jam 2 petang.
"Saya serta peniaga yang lain cuba menghubungi mereka serta menutup dengan alas bagi menyelamatkan barangan jualan peniaga lain daripada rosak," katanya.
Sementara itu, peniaga kasut, Mohd Rizal Abdul Rahman, 40, berkata, kejadian ribut pernah berlaku sebelum ini, namun kali ini lebih teruk menyebabkan khemah patah dan rosak teruk.
"Sebelum ini bumbung khemah saja yang bocor sebab hujan lebat tapi kali ini sebahagian khemah mangsa rosak teruk dan ada yang terpaksa diganti baru.
"Walaupun terpaksa menanggung kerugian, namun kami masih bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya yang berniaga sejak lima tahun lalu.