[DIKEMASKINI] Tidak ada duit raya buat peneroka Felda setakat ini

Iklan
Azmin menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena Program Sumbangan Eidul Fitri Parlimen Gombak & DUN Bukit Antarabangsa semalam.
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan buat masa ini tidak berhasrat untuk memberikan 'duit raya' kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara berikutan kedudukan semasa kewangan negara yang kurang memberangsangkan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata sebaliknya kerajaan sedang memberi keutamaan agar pemberian insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dapat disalurkan kepada para peneroka, sebelum Aidilfitri ini.

"Setakat ini tidak ada (duit raya) sebab kita nak salurkan dulu pinjaman sara hidup dan juga pendahuluan hasil kepada peneroka Felda, dan saya baru saja bertemu peneroka Felda minggu lepas, saya nak pastikan semua duit ini disalur sebelum hari raya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Perdana dan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada penduduk Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) meminta agar kerajaan menyampaikan duit raya atau bantuan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini kepada peneroka Felda susulan pendapatan peneroka yang tidak stabil mengikut harga komoditi kelapa sawit semasa dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata kerajaan tidak boleh memberikan sebarang janji kepada peneroka memandangkan keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan nasib dan kebajikan mereka dapat dibela dalam jangka masa panjang.

"Maka itu pun kita telah selesaikan dalam Kertas Putih baru-baru ini, menelan belanja besar RM6.23 bilion, bagi saya itu keutamaan harus diberi perhatian kerana kita mahu penyelesaian yang mampan, bersifat jangka panjang, bukan secara tidak membantu masa depan peneroka," katanya.

Sebelum ini kerajaan bersetuju memperuntukkan RM6.23 bilion kepada Felda secara berperingkat dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan mengikut keperluan demi kelestarian masa depan agensi rancangan pembangunan tanah itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industria Asas Tani untuk memulakan inisiatif"cash crop model" bagi membantu para peneroka agar tidak terlalu bergantung dengan kelapa sawit semata-mata.

"Ini adalah tanaman alternatif, kerana kita tidak mahu peneroka terlalu bergantung kepada kelapa sawit, kerana ia mengambil masa yang terlalu lama untuk mendapat pulangan. Sekarang dengan harga komoditi di pasaran sentiasa turun naik, kita merasakan lebih baik diperkenalkan 'cash crop model'," katanya.

Mohamed Azmin berkata beliau berharap program pertama itu akan dapat dilancarkan seawal-awalnya selepas Aidilfitri ini dengan projek pertama sama ada di Pahang atau Johor. - Bernama