Kemanisan tawan puncak Gunung Datuk

Iklan
Halimey bergambar bersama sebahagian peserta pendakian Gunung Datuk, di sini.
PETALING JAYA - Seramai 120 pendaki berjaya menawan puncak Gunung Datuk, setinggi 884 meter sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Pengarah Programnya, Mohd Azlan Mohd Noor berkata, pendakian itu mengambil masa lebih lapan jam untuk sampai ke puncak.

Menurutnya, peserta dan krew yang terdiri daripada pelbagai pekerjaan itu sebagai usaha menyokong kempen 'Go Green' dan menanam semangat patriotik 'Sayangi Malaysiaku'.

"Menariknya peserta dan kru mempunyai latar belakang berbeza antaranya hakim, peguam, saintis, jururawat, paramedik, polis, bomba dan dalam kepelbagaian bidang lain," katanya.

Mohd Azlan berkata, program anjuran Advantura Hikers dengan kerjasama Dun Seri Setia itu memilih Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan.

"Pihak penganjur mencadangkan Gunung Datuk paling sesuai untuk ekspedisi kali ini setelah mengambil kira beberapa perkara termasuk tahap kesukaran dan faktor keselamatan pendaki baru dan dalam kumpulan besar," katanya.

Beliau berkata, aktiviti pendakian yang dirasmikan Adun Seri Setia, Halimey Abu Bakar itu membawa objektif memberi pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan melalui aktiviti sihat.

"Selain itu, aktiviti ini dilakukan sebagai simbolik kepada kejayaan kita yang berjaya sampai ke puncak gunung selepas mengharungi pelbagai onak dan duri.

"Kita juga ingin menanam semangat sayangi Malaysiaku walaupun kita sudah berada di puncak kejayaan, tetapi Malaysia tetap dihati kita," katanya.

Beliau memberitahu, program itu juga dapat mengeratkan lagi hibungan silaturahim dalam kalangan peserta.

"Aktiviti ini secara tidak langsung dapat membina jati diri dan semangat setia kawan," katanya.