Peserta cilik, ibu bapa sertai World Kids #QuranHour

Iklan
Peserta tahfiz muda dan juara tilawah al-Quran turut memperdengarkan bacaan surah al-Kahf ayat 1 hingga 10 yang dibaca secara berulang-ulang. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Penganjuran julung kali World Kids #QuranHour mendapat sambutan luar biasa dengan penglibatan 3,500 peserta terdiri daripada kanak-kanak dan ibu bapa.

Berlangsung di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini semalam program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhals (WUIF) bersama saluran Astro Ceria itu merupakan salah satu inisiatif utama menjelang kemuncak World #QuranHour pada 30 Mei ini.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, World Kids #QuranHour bertujuan menerapkan kefahaman isi kandungan al-Quran kepada kanak-kanak.

"World Kids #QuranHour mengambil semangat Nuzul Quran dengan membawa Misi al-Kahf. Pendekatan untuk berinteraksi dengan al-Quran juga dibuat secara santai.

Iklan

"Berdasarkan sambutan luar biasa ini, kita nampak ada kesan daripada kempen World #QuranHour selama empat tahun. Mungkin sebelum ini anak-anak ikut ibu bapa tetapi hari ini kita buat khusus untuk anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Peserta program menadah tangan bagi mengaminkan doa yang dibaca menerusi program terbabit. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhammad berkata, pihaknya menyambut baik pelaksanaan World Kids #QuranHour yang mendapat penyertaan murid pra-sekolah dan sekolah-sekolah rendah sekitar Lembah Klang.

Iklan

"Malah, hari ini (semalam) kita buka perpustakaan khas untuk World Kids #QuranHour. Kita dapat lihat semua anak-anak begitu gembira dan ibu bapa pula memberi sokongan jitu.

Pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal turut menyampaikan tazkirah bertajuk Pesan Dari Gua dalam program berkenaan. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Situasi ini menunjukkan rakyat Malaysia memang mahu mendekati agama. Melalui program ini, kita mahu ajar anak-anak agar ingat Tuhan dan mendekati al-Quran,” katanya.

World Kids #QuranHour mengangkat pendekatan eduitainment seperti persembahan karakter animasi popular kanak-kanak Omar & Hana, penyampaian kisah Pesan dari Gua oleh Ustaz Don Daniyal dan persembahan Salam Squad.

Watak animasi Omar dan Hana memeriahkan World Kids #QuranHour di Pustaka Raja Tun Uda di Shah Alam, Selangor semalam. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Surah al-Kahf ayat satu hingga 10 turut diperdengarkan oleh Tahfiz Muda Aqil, Tahfiz Muda Mikhail dan juara tilawah al-Quran peringkat antarabangsa, Nor Farhatul Fairuzah Panut.

Peserta juga diberikan pemahaman mengenai 10 ayat terawal surah al-Kahf melalui tafsiran oleh PU Azman.

Seorang kanak-kanak membacakan surah al-Fatihah dan al-Baqarah sewaktu pembukaan program berkenaan. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Turut hadir dalam program itu ialah pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Naib

Presiden Kandungan GenNext dan Antarabangsa Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin.

World Kids #QuranHour turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ceria, Astro Oasis dan Astro Oasis HD.

Program World Kids #QuranHour yang berlangsung di Pustaka Raja Tun Uda di Shah Alam, Selangor mendapat sambutan memberangsangkan daripada peserta cilik. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR