SEMINGGU setelah berlalu Hari Guru, saya terkenang zaman sekolah lebih setengah abad lalu. Ketika itu adalah amat memalukan sekiranya dihukum berdiri atas bangku.
Semua murid dan guru yang melintasi kelas akan memandang kita; tahulah mereka bahawa kita telah melakukan kesalahan – mungkin tidak membuat homework, boleh jadi juga tidak menghafal sifir.
Tidak kira berdiri atas bangku, dirotan di hadapan umum, atau lain-lain hukuman, bagi kebanyakan murid itu adalah sesuatu yang memalukan.
Tetapi murid sekarang tidak malu sedikit pun sekiranya dihukum sedemikian. Mereka tidak tertunduk malu, tetapi boleh tersenyum, malah melambai kawan-kawan yang melintas depan kelas.
Ada pula sesetengah ibu bapa yang datang ke sekolah, mengadu kepada pengetua dan marah-marah kepada guru kelas kerana mendenda anaknya berdiri di atas bangku.
Maka berdiri atas bangku – dan denda-denda lain – bukan lagi sesuatu yang memalukan, malah pesalah berasa seperti wira kerana ibu bapa datang membela.
Apa boleh buat, zaman berubah, masa berlalu, dan sistem nilai pun sudah tidak seperti dulu-dulu. Apa yang sepatutnya memalukan, kini menjadi sesuatu yang dimegahkan!
Di luar bilik darjah semakin ketara sistem nilai kita sudah jauh berbeza. Dulu-dulu sekiranya ditangkap polis kerana mencuri ayam, sebulan tidak keluar rumah kerana malu kepada orang kampung.
Terasa aib sangat – sehingga amat dirahsiakan – sekiranya dibicarakan di mahkamah, walau pun kesalahan hanya memandu tanpa lesen.
Sekeluarga malu bukan kepalang sekiranya anak dihantar ke pusat serenti kerana menagih dadah. Betul-betul memalukan keluarga sekiranya anak menagih benda haram itu.
Kini tiada malu lagi, malah ibu bapa sendiri yang mahu anaknya dimasukkan ke pusat serenti sebab tidak dapat mengawal perangai anak.
Dulu-dulu orang berasa malu apabila disiasat dan ditangkap kerana rasuah dan salahguna kuasa. Anak-isteri, malah orang kampung sendiri terasa diaibkan sekali jika ada di kalangan mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut.
Hari ini rasuah dan penyelewengan sudah menjadi berita biasa. Setiap hari ada sahaja kenyataan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu sekian-sekian disiasat kerana rasuah.
Dulu kalau ada anggota polis atau kerani fail yang menerima suapan atau duit kopi itu sudah heboh sekampung. Hina sangat makan suap RM10 atau RM20.
Hari ini suapan bukan lagi puluhan atau ratusan RM, tetapi ratus-ratus ribu RM, malah penyelewengan dan rasuah yang melibatkan RM juta-juta, RM bilion-bilion.
Mereka yang terlibat dalam siasatan jenayah berkenaan itu bukan orang biasa, tetapi yang berkedudukan dan bergelar – Datuk, Datuk Seri, Tan Sri.
Pegawai kanan, Pengarah, Ketua Pengarah, menteri semua disiasat kerana penyelewengan dan membalun harta rakyat. Nampak mudah sangat mereka anak-beranak songlap duit.
Luluskan satu projek boleh dapat suapan RM juta-juta. Beli kapal selam dapat komisyen RM ratus-ratus juta. Dana institusi Islam pun mereka sakau ikut suka hati.
Perhatikan, semua yang pangkat besar, berkedudukan tinggi dan kaki seleweng lagi perasuah mega itu adalah orang Melayu, orang Islam.
Orang Melayu yang dulu-dulu digambarkan sebagai lemah-lembut, bersantun dan tinggi maruah itu, kini sudah sinonim dengan rasuah dan penyelewengan. Mereka sudah hilang malu!
Malah ditangkap, disiasat – hatta dibicarakan – kerana seleweng dan rasuah nampaknya bukan lagi sesuatu yang mengaibkan.
Orang yang dihadapkan ke mahkamah kerana jenayah berat kini disanjung sebagai wira. Mereka ke mahkamah tidak menundukkan wajah kerana malu, sebaliknya mendepang dada dalam sorakan penyokong.
Malah, yang menghadapi berpuluh tuduhan rasuah dan seleweng, ramai berhimpun di mahkamah untuk memberi sokongan.
Meski duduk di kandang orang tertuduh, dia masih dianggap bos, malah diraikan dan disorakkan dengan slogan ‘Malu Apa Bossku’.
Ertinya orang kita tidak lagi perlu malu walaupun dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang sepatutnya amat memalukan. Benarlah sistem nilai kita sudah berbeza.