JELI - Seorang peniaga kerugian kira- kira RM2,000 selepas stor simpanan buahnya rosak teruk akibat dirempuh kereta dalam kejadian jam 5.30 pagi ini.
Siti Hawa Che Awang, 67, berkata, ketika kejadian, dia baru selesai bersahur bersama keluarga dan sedang bersiap untuk ke masjid.
"Dentuman kuat dari halaman mengejutkan kami sebelum mak cik keluar melihat apa yang terjadi.
"Sebaik pintu dibuka, mak cik nampak stor simpanan buah sudah runtuh dan sebuah kereta terperangkap dicelah runtuhan tersebut," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, dalam stor tersimpan kira- kira 60 kilogram pisang selain jeruk kelubi, budu, limau nipis dan hampir kesemuanya rosak akibat rempuhan itu.
Siti Hawa berkata, ia kejadian pertama sejak dia mula menjalankan perniagaan berkenaan November lalu.
"Tak ada rezeki mak cik kali ini. Itupun nasib baik tembikai yang selalunya mak cik simpan dalam stor berkenaan tidak sempat dipindahkan dari bangsal disebabkan hujan petang semalam, kalau tidak pasti semuanya turut rosak," katanya.