JAKARTA - Situasi di ibu kota Indonesia masih lagi 'panas' susulan rusuhan oleh penunjuk perasaan di beberapa lokasi utama sekitar Jakarta.
Ketegangan berlaku mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengusaha perniagaan sehingga memaksa mereka memberikan cuti kepada pekerja.
Turut sama terjejas ialah perusahaan asing yang terpaksa menghentikan sementara operasi mereka sehingga Jumaat ini.
"Saya difahamkan beberapa perusahaan asing termasuk dari Korea dan Jepun tidak menjalankan operasi sejak semalam," kata Ketua Perdagangan dan Industri, Rosan P Roeslani.
Rosan berkata, perusahaan tempatan juga menantikan situasi kembali tenang sebelum memanggil pekerja untuk bertugas semula.
Sementara itu, Wakil Ketua Umum Pertubuhan Pengusaha Indonesia (Apindo), Shinta Widjaja Kamdani berharap rusuhan ini segera berakhir.
"Keadaan ekonomi yang tidak menentu ditambah dengan pergolakan dalaman menyebabkan ekonomi bertambah teruk," kata Shinta.
Beliau juga bimbang sekiranya terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan ke atas kekecohan ini dan menjadikannya lebih buruk.
Namun Shinta percaya pasukan keselamatan mampu menangani rusuhan dan mengembalikan keamanan demi kepentingan bersama. - Detik.Com