Musa Aman mengaku tak salah 51 tuduhan rasuah, Amla

Iklan
Musa Aman

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas 51 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Musa, 68, membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di Mahkamah Tinggi.

Iklan
Iklan

"Faham, minta bicara,” jawab Musa sejurus jurubahasa selesai membaca satu-persatu pertuduhan.

Collin kemudiannya menetapkan perbicaraan kes selama dua bulan bermula Jun 2020.

Iklan

Tarikh yang ditetapkan adalah 8 hingga 11 Jun, 15 hingga 18 Jun, 22 hingga 25 Jun, 6 hingga 7 Julai, 13 hingga 16 dan 20 hingga 23 Julai, tahun depan.

Mahkamah turut menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Iklan

Pada November 2018, Musa berdepan 16 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih AS$37.8 juta dan SGD2.5 juta manakala 35 pertuduhan rasuah membabitkan kontrak konsesi balak berjumlah AS$63.3 juta (RM263 juta).

Bagi pertuduhan pertama pengubahan wang haram, Musa didakwa melibatkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, membuka satu akaun di Bank UBS AG Singapura di atas nama Barnes untuk menerima hasil dari aktiviti haram di Bank UBS AG, Singapura pada 21 Jun, 2006.

Musa juga dituduh atas pertuduhan alternatif bagi pertuduhan pertama iaitu telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Barnes membuka akaun di Bank UBS AG Singapura melalui akaun atas nama Barnes untuk menyembunyikan pemunyaan Musa ke atas hasil dari aktiviti haram di tempat dan pada tarikh sama.

Pertuduhan kedua hingga ke-15, Musa didakwa telah melibatkan diri secara tidak langsung dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang daripada individu dan syarikat melalui akaun atas Barnes di mana kesemua wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

Bagi pertuduhan terakhir iaitu pertuduhan ke-16, Musa didakwa cuba untuk melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Barnes memindahkan kesemua aset dan kemasukan wang yang akan datang dari akaun di atas nama Barnes ke akaun miliknya di Bank UBS AG Zurich di mana kesemua aset dan kemasukan wang tersebut adalah hasil dari aktiviti

Mengikut pertuduhan kedua sehingga ke-16, Musa dituduh melakukan perbuatan itu di Bank UBS AG, Central Hong Kong Special Administrative Region of the Republic of China antara 21 Jun 2006 dan 14 Mei 2008.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Musa juga menghadapi 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah berjumlah AS$63,293,924 (RM263,460,962.313) daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, sekiranya dapat dinilai dalam bentuk wang atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.