Gara-gara tuntutan palsu, kontraktor dipenjara tujuh hari

Iklan
Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya, hari ini.
JOHOR BAHRU - Seorang kontraktor diperintahkan Mahkamah Sesyen, di sini, menjalani hukuman penjara tujuh hari selepas mengaku bersalah dengan niat membuat tuntutan palsu, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Rizal Abu, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan, Hakim Kamarudin Kamsun.

Mohamad Rizal turut diarahkan membayar denda RM10,000 dan boleh dikenakan penjara selama enam bulan lagi sekiranya tidak menjelaskan bayaran tersebut.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Rizal didakwa dengan disedari telah memberikan suatu dokumen iaitu Claim Invois Syarikat Rizal Suci Enterprise bertarikh 3 Jun 2016 kepada seorang ejen Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Kesihatan Daerah Segamat.

Perbuatan itu bagi membolehkan dirinya membuat tuntutan palsu bernilai RM1,200 bagi satu projek yang didapati tidak dilaksanakan pihaknya.

Didakwa, dokumen yang diserahkan juga bertujuan mempunyai kepentingan serta mengandungi butir matan palsu dan mengelirukan prinsipalnya.

Mohamad Rizal didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kesihatan Daerah Segamat pada 18 Julai lalu.

Dia kemudiannya didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raiza manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam rayuannya, Mohamad Rizal memohon agar mahkamah mengurangkan hukumannya kerana mempunyai tanggungan tiga orang anak dan isteri yang sedang sarat mengandung.