SUNGAI PETANI- Sindiket judi atas talian memperalatkan remaja bawah umur atau budak sekolah sebagai pengendali tambah nilai dikesan sebagai modus operandi baharu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, serbuan yang dijalankan di Tikam Batu semalam menahan operator berusia 15 tahun yang juga merupakan pelajar sekolah.
Menurutnya, aktiviti perjudian itu bagaimanapun berselindung di sebalik premis menjual makanan ringan seperti snek bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Serbuan pada jam 10.15 malam di sebuah kedai menjual makanan ringan mendapati sindiket judi atas talian memperalatkan remaja bawah umur iaitu pelajar yang ditugaskan menjaga kedai.
"Dalam masa sama, pelajar terbabit juga dijadikan operator dan diberi kebenaran menjual tambah nilai judi atas talian,"katanya.
Menurut beliau, berdasarkan hasil maklumat diperoleh, remaja terbabit mengaku baru sehari menggantikan tugasan itu dengan bayaran upah RM25 sehari.
Turut dirampas, tiga buah telefon bimbit, meja dan kerusi di kaunter termasuk wang tunai berjumlah RM150 dipercayai hasil perjudian atas talian.
Menurutnya, dalam tempoh minggu ini, lapan serbuan telah dibuat di mana tiga daripadanya dikesan menggunakan budak sekolah sebagai operator perjudian atas talian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di mana denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 boleh menyebabkan peralatan judi dirampas dan hukuman penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.
Katanya, polis juga tidak teragak-agak mengambil tindakan pemotongan bekalan elektrik bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memberi kuasa kepada pegawai polis dengan maklumat bertulis dan alasan kukuh membuat pemotongan selama 30 hari ke atas mana-mana premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian.
Beliau turut menasihati ibu bapa agar memerhatikan anak-anak supaya tidak terlibat dalam sindiket terbabit.