SHAH ALAM - Tempoh reman suspek utama kes bunuh membabitkan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin dilanjutkan seminggu lagi bermula hari ini hingga Khamis depan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret A Akhiruddin@Boy Acho di Mahkamah Majistret Sepang semalam.
Semalam, mahkamah sama memerintahkan dua lagi suspek, seorang wanita Nigeria dan lelaki Pakistan disambung reman tujuh hari lagi sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan kes sama.
Pada 17 Mei lalu, seorang lelaki warga Nigeria direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina.
Lelaki berusia 36 tahun itu yang dipercayai suspek utama pembunuhan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 16 Mei, polis menahan reman dua rakan suspek iaitu seorang wanita warga Nigeria dan lelaki warga Pakistan yang membawa kepada penahanan suspek utama.
Pada 15 Mei, mayat Siti Kharina ditemui polis dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala selepas pemilik rumah sewa berkenaan melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.
Siti Kharina dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu dan ditemui mati dibunuh di sebuah unit kondominium di Cyberjaya.
Siti Kharina bertugas selama lima tahun di Hospital Serdang tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun.
Suami dan semua anaknya menetap di di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.