KPDNHEP Kelantan pantau harga barang sepanjang Aidilfitri

Iklan
Adnan (dua,kiri) bersama Hanifa (tiga, kiri) melihat senarai barangan yang dijual di sebuah pasar raya di sini hari ini.

KOTA BHARU – Bagi memastikan semua peniaga mematuhi kawalan harga, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan akan memantau Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sepanjang perayaan Aidilfitri, bermula 21 Mei hingga 19 Jun ini.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abdul Rahman berkata, seramai 150 penguat kuasa ditugaskan untuk memantau walaupun harga barang sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Iklan
Iklan

"Ada penggiliran untuk setiap pegawai kita supaya dapat memantau dan juga melihat keadaan peniaga-peniaga serta menasihatkan semua peniaga sama ada di pasar raya atau pasar runcit supaya mematuhi arahan yang kita keluarkan.

"Apa yang penting, kesemua barangan yang diletakkan di bawah senarai harga maksimum perlu dipaparkan dengan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna mengenal pasti 25 jenis barangan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Skim Harga Maksimum Perayaan Hari Raya Puasa 2019 di salah satu pasar raya di sini hari ini.

Iklan

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad yang juga Pengerusi Gerakan Pengguna Negeri Kelantan.

SHMMP sempena Aidilfitri tahun ini, sebanyak 25 barangan telah disenaraikan iaitu ayam, telur, daging lembu tempatan dan import, cili kering, tomato, kubis, kacang panjang, kacang tanah, kelapa, bawang merah,bawang besar dan bawang putih, ibu kentang import, ikan kembung, ikan selayang, ikan tongkol, ikan cermin, ikan segar beku selar, selayang dan kembung.

Iklan

Adnan berkata, walaupun harga barangan masih terkawal sejak awal Ramadan lalu, namun pihaknya tetap meneruskan operasi dari masa ke semasa bagi memastikan peniaga terus patuh arahan SHMMP.

Ketika ditanya mengenai operasi melibatkan bazar Ramadan, Adnan berkata, sebanyak 51 amaran telah dikeluarkan kepada peniaga bazar yang kebanyakan membabitkan kes tidak meletakkan tanda harga.

"Kita tidak ambil tindakan lagi cuma kita bagi peringatan dan amaran supaya peniaga di bazar Ramadan letak tanda harga supaya memudahkan pengguna untuk buat pilihan,” katanya.