Cendawan bantu pekebun

Iklan
Mazlan (depan) melihat tanaman cendawan yang dikomersialkan Noor Saiful di Kampung Parit Hasan, Benut.
PONTIAN - Penurunan harga komoditi getah dan kelapa sawit di pasaran kini, mencetuskan idea kepada seorang pengusaha untuk memperluaskan tanaman cendawan menerusi pendekatan perladangan usaha sama kampung-kampung di Benut.

Pengusaha Cendawan Saifulam Agro Farm, Noor Saiful Amri Suloh berkata, ladang usaha sama berkenaan berpotensi dimajukan sebagai produk agro pelancongan.

Menurutnya, selain nanas yang terkenal di Pontian, tanaman cendawan juga berpotensi dikomersialkan kerana harga jualan cendawan tiram kelabu mencecah RM15 sekilogram di Johor Baharu.

"Perbincangan telah dilakukan bersama Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) kampung-kampung di Benut.

"Sebanyak 10 buah kampung akan menjadi perintis projek tanaman cendawan tiram kelabu ini.

"Soal tanah bukan masalah, tanaman cendawan tidak menggunakan banyak kawasan tanah. Mungkin rizab yang tidak digunakan di kampung akan dijadikan lokasi rumah cendawan,” katanya.

Soal pasaran pula tidak perlu dibimbangkan kerana cendawan tiram kelabu mendapat permintaan cukup tinggi terutama di Johor Bahru.

Jelasnya, cendawan tiram kelabu yang diusahakan bersama penduduk kampung bakal menjadi produk pelancongan baharu di Pontian.

"Jika di Kuala Selangor, sebuah kilang beras dijadikan pusat pelancongan, di mana pelancong melihat sendiri pemprosesan beras dari mula hingga akhir.

"Menggunakan konsep sama, kita bawa pelancong lihat sendiri bagaimana cendawan tiram kelabu ditanam dan dituai setiap hari,” katanya.

Jelasnya, konsep tersebut boleh dicontohi mana-mana pengusaha pertanian memandangkan pelancong mahu melihat sendiri tanaman diusahakan dan dituai kerana ia jarang dapat disaksikan.

"Sekarang ramai yang sudah tinggal di bandar. Untuk melihat tanaman seperti padi, sayur-sayuran yang ditanam segar mungkin agar sukar.

"Di sini, ia peluang pengusaha pertanian untuk mempelbagaikan sumber ekonomi dengan menjadikan kawasan pertanian mereka sebagai lokasi pelancongan,” katanya.

Saiful berkata, projek agro pelancongan bagi tanaman cendawan itu turut disokong Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman yang melawat rumah cendawan di Kampung Parit Hasan, Benut, baru-baru ini.

"Setakat ini, setiap rumah mampu menghasilkan 80kg cendawan tiram kelabu setiap hari. Bagi tujuan agro pelancongan, rumah cendawan akan ditambah buat tontonan pelancong.

"Cendawan telinga kera juga akan ditanam dengan konsep rumah cendawan mini,” katanya.

Beliau berharap usaha menarik pelancong menerusi projek agro pelancongan cendawan ini membuahkan hasil dan mendatangkan manfaat ekonomi kepada penduduk.