Beri rakyat Palestin biasiswa, ini langkah belas kasihan

Iklan
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
PUTRAJAYA - Tawaran biasiswa untuk rakyat Palestin baru-baru ini adalah langkah belas kasihan yang akan meningkatkan kepentingan jangka panjang Malaysia dengan negara itu, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

Syed Saddiq berkata, Malaysia tidak dapat mengelak daripada masalah yang dihadapi oleh negara lain, kerana ia juga merupakan sebahagian daripada komuniti global yang telah menerima bantuan sebelum ini.

Beliau menambah, Malaysia sentiasa akan menjadi kerajaan berperikemanusiaan dan sentiasa membantu negara-negara lain yang memerlukan, lapor Malay Mail.

"Pertama sekali, ini adalah sesuatu yang telah lama kita lakukan. Sebagai contoh jika anda melihat pada tahun 1990-an, terdapat banyak pelajar Bosnia yang dibawa ke Malaysia dan kini mereka bekerja di negara ini dan menjadi nilai tambah kepada ekonomi Malaysia.

"Mereka turut membantu Malaysia melakukan beberapa urusan perniagaan dengan kerajaan Bosnia. Itulah sebabnya imej Malaysia di Bosnia sangat baik. Jadi saya fikir semua orang harus melihat kesan jangka panjang. Jangan lupa, kita adalah kerajaan berperikemanusiaan.

"Akhirnya, bukan hanya kepentingan strategik jangka panjang yang berlaku malahan, ia sekali gus menunjukkan kita adalah kerajaan yang peduli, kerajaan yang penuh belas kasihan dan saya yakin ini adalah kepentingan jangka panjang Malaysia," katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan kelab bola sepak antarabangsa Manchester City, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memutuskan untuk menawarkan biasiswa buat pelajar-pelajar dari Palestin meneruskan pengajian mereka di peringkat sarjana muda, sarjana dan PhD di 12 universiti ternama di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tawar biasiswa kepada pelajar Palestin

Biasiswa yang bernilai RM11.48 juta itu akan ditawarkan menerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) dan merupakan inisiatif Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Antara 12 universiti terlibat ialah Albukhary International University, Mahsa University, Kolej Universiti Islam Perlis, Multimedia University, UCSI University, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional, Sunway University, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Utara Malaysia.

Sementara itu, memetik laporan Sin Chew Daily, pengumuman Perdana Menteri itu telah menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pemimpin parti pembangkang dan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Beri rakyat Palestin biasiswa, pembangkang tidak puas hati

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong berkata, kerajaan Pakatan Harapan perlu menjaga keperluan semua kaum di negara kita dan bukan hanya mengambil berat kaum Cina atau bukan Bumiputera ketika pilihan raya umum.